Pantau Sungai Klang, MBDK sasar penyertaan 100,000 sukarelawan

19 Dis 2025, 1:18 AM
Pantau Sungai Klang, MBDK sasar penyertaan 100,000 sukarelawan

KLANG, 19 DIS: Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) menyasarkan penyertaan seramai 100,000 ahli Program Sahabat Sungai bagi memperkukuh peranan komuniti sebagai barisan hadapan dalam usaha memantau dan memelihara Sungai Klang.

Datuk Bandar Klang, Dato’ Abd Hamid Hussain berkata setakat ini lebih 5,000 telah menyertai program berkenaan sejak ia dilancarkan sempena Majlis Anugerah Komuniti Mampan MBDK 2025.

“Kesedaran menjaga kebersihan sungai sangat penting kerana kebanyakan pencemaran berpunca daripada aktiviti harian masyarakat, khususnya di kawasan perumahan dan komersial,” katanya ketika ditemui pada majlis yang diadakan di sini, semalam.

Beliau berkata, pelaksanaan Program Sahabat Sungai membuka ruang kepada penglibatan komuniti secara langsung bagi mengelak sisa pepejal daripada mengalir ke sungai, sekali gus membantu usaha pencegahan pencemaran dan risiko banjir.

“Ahli Sahabat Sungai berperanan sebagai sukarelawan dan pemerhati dengan menyalurkan maklumat kepada MBDK berkaitan pembuangan sampah secara haram serta pelanggaran peraturan kebersihan,” katanya.

Abd Hamid berkata pendaftaran bagi menyertai program itu boleh dibuat menerusi imbasan Kod Respons Pantas (QR) serta laman web rasmi MBDK bagi memudahkan penyelarasan, pemantauan dan hebahan aktiviti.

Tambah beliau, inisiatif berkenaan selari dengan Pelan Tindakan Cintai Sungai Klang yang memberi tumpuan kepada pengurangan risiko banjir serta pengukuhan kelestarian alam sekitar melalui penglibatan aktif masyarakat.