Kerajaan Negeri tunggu keputusan Kabinet berhubung projek pelabuhan ketiga

18 Dis 2025, 11:34 AM
Kerajaan Negeri tunggu keputusan Kabinet berhubung projek pelabuhan ketiga
Kerajaan Negeri tunggu keputusan Kabinet berhubung projek pelabuhan ketiga
Kerajaan Negeri tunggu keputusan Kabinet berhubung projek pelabuhan ketiga

SHAH ALAM, 18 DIS: Kerajaan Negeri menunggu keputusan Kabinet dijangka Januari depan bagi menentukan hala tuju projek pelabuhan ketiga di Pulau Carey.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata keputusan Kabinet itu penting sebelum sebarang pelaksanaan projek dijalankan.

“Kerajaan Negeri akan menerima kerangka projek daripada Kabinet pada Januari dan kita sedang menunggu keputusan tersebut,” katanya pada sidang media selepas pelancaran Projek Fibreisasi Cyberjaya dan majlis menandatangani Rangka Kerjasama Perniagaan (BAF) di Hotel Concorde, di sini hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap Ketika majlis pelancaran projek Fibreisasi Cyberjaya dan majlis menandatangani Rangka Kerjasama Perniagaan (BAF) di Hotel Concorde Shah Alam pada 18 Disember 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

Amirudin menjelaskan, bagi tujuan pembangunan pelabuhan berkenaan, Kerajaan Negeri menyerahkan hampir 2,500 ekar tanah negeri dan 1,700 ekar tanah milik Yayasan Selangor di bawah pengurusan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

“Keputusan menyerahkan tanah kepada PKNS dibuat baru-baru ini walaupun tanah itu telah dikenal pasti sebelum ini. Namun, garis masa pembinaan pelabuhan masih belum ditentukan,” katanya.

Beliau menambah, pihak yang dipilih oleh kerajaan persekutuan akan berbincang dengan PKNS bagi melaksanakan pembinaan pelabuhan ketiga Pulau Carey.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan kepentingan mempercepat pembangunan terminal ketiga di Pulau Carey agar projek berkenaan menjadi model pembangunan nasional yang cekap, terancang dan berintegriti, sambil memastikan kepentingan Orang Asli, penduduk tempatan, nelayan serta kelestarian ekosistem terpelihara.

Sebelum ini pada Jun 2023, Kerajaan Negeri telah melantik PKNS sebagai agensi negeri utama bagi projek pelabuhan ketiga manakala Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI diberi tanggungjawab melaksanakan pembangunan berkaitan termasuk projek perumahan, industri dan pembuatan.