RS-2: Padanan perniagaan bantu PMKS akses pasaran lebih luas

10 Ogos 2026, 7:30 AM
RS-2: Padanan perniagaan bantu PMKS akses pasaran lebih luas

SHAH ALAM, 10 OGOS: Rancangan Selangor Kedua (RS-2) yang turut memberi tumpuan kepada pembangunan Pulau Carey dicadang menyediakan padanan perniagaan bagi menghubungkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan operator pelabuhan serta syarikat logistik.

Pengerusi Blok Penyokong Kerajaan (BBC) Azmizam Zaman Huri berkata pendekatan itu dapat membuka peluang kepada syarikat tempatan memperoleh kontrak atau memenuhi keperluan industri, selain berpotensi menjadi vendor kepada syarikat lebih besar.

Menurutnya, Kerajaan Negeri juga boleh membantu PMKS mendapatkan akses pembiayaan memandangkan terdapat syarikat tempatan yang berdepan kekurangan modal untuk meningkatkan operasi.

“RS-2 juga perlu kenal pasti sektor sokongan pelabuhan yang mempunyai potensi besar untuk disertai oleh syarikat tempatan selain bantu syarikat tempatan yang berpotensi mendapatkan akses kepada pembiayaan dan program peningkatan kemampuan.

“Kesan pertumbuhan pelabuhan kepada ekonomi setempat harus diukur supaya kejayaan Pelabuhan Klang bukan hanya dinilai berdasarkan jumlah kontena tetapi mengambil kira penyertaan dan perkembangan perniagaan tempatan.

Ahli Dewan Negeri Pelabuhan Klang Azmizam Zaman Huri berucap pada persidangan Dewan Negeri Selangor di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri, Shah Alam pada 4 Ogos 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

“Teruskan usaha memudahkan urusan perniagaan tanpa mengurangkan syarat keselamatan, undang-undang dan pematuhan. Pelabuhan Klang percaya semua perkara ini boleh melengkapkan aspirasi ekonomi RS-2,” katanya ketika membahaskan RS-2 pada persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Azmizam berkata kerangka pembangunan lima tahun itu dijangka memperkukuh ekonomi Selangor, memperluas peluang pekerjaan serta menjadikan pembangunan dan perkhidmatan kerajaan lebih teratur, selain memastikan manfaatnya dirasai rakyat.

“Kita boleh bercakap mengenai pertumbuhan ekonomi, pelaburan dan pembangunan bernilai berbilion ringgit tetapi akhirnya semua itu perlu mempunyai hubungan dengan kehidupan rakyat.

“Kita tidak perlu menunggu sehingga 2030 untuk menilai kemajuan. Setiap tahun kita boleh melihat apa yang telah berjaya dilakukan, apa yang masih berjalan dan apa yang memerlukan perhatian tambahan.

“Kalau terdapat kelemahan, kita perbaiki. Kalau terdapat pendekatan yang memberikan hasil baik, kita teruskan. Dengan cara ini, RS-2 menjadi sebuah rancangan yang sentiasa bergerak bersama keadaan sebenar negeri dan keperluan rakyat,” katanya yang juga Ahli Dewan Negeri, Pelabuhan Klang.

RS-2 yang dibentangkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada Jumaat lalu menggariskan enam misi, merangkumi 25 bidang keutamaan dan 98 inisiatif sebagai pelan tindakan utama bagi merealisasikan aspirasi Selangor sebagai Negeri Model ASEAN menjelang 2030.

Amirudin berkata rancangan itu bertujuan memperkukuh pelaburan terutama daripada sumber domestik dengan sasaran RM330 bilion, mengurangkan kadar pengangguran kepada 2.2 peratus serta menyasarkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 6.1 peratus menjelang 2030.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.