SHAH ALAM, 14 JULAI: Pembangunan Terminal Ketiga Pelabuhan Klang di Pulau Carey bakal menjadi satu lagi pemangkin kemakmuran ekonomi negeri, kata Dato’ Menteri Besar.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata dengan adanya terminal ketiga itu akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti selain mengukuh daya saing Selangor sebagai enjin ekonomi Malaysia.
“Saya telah mempengerusikan Mesyuarat Khas Pembangunan Terminal Ketiga Pelabuhan Klang. Mesyuarat ini amat penting bagi menyelaras penglibatan semua agensi berkaitan dalam merealisasikan projek strategik ini.
“Projek ini dijangka memberi impak besar kepada pertumbuhan ekonomi Selangor serta memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab perdagangan dan logistik serantau.
“Kerajaan Negeri menyasarkan upacara pecah tanah projek ini dapat dilaksanakan pada suku ketiga tahun 2026,” katanya menerusi Facebook hari ini.
Amirudin turut yakin Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan anak syarikatnya serta semua pihak yang terlibat mampu merealisasikan projek mega bertaraf antarabangsa itu mengikut perancangan.
Terdahulu, mesyuarat khas itu turut dihadiri EXCO Pelaburan Ng Sze Han dan EXCO Infrastruktur Dato’ Ir Izham Hashim.
Sebelum ini, Amirudin menjelaskan Kerajaan Negeri sudah menyelesaikan sepenuhnya isu pemilikan tanah bagi pembinaan Terminal Ketiga Pelabuhan Klang di Pulau Carey sejak Disember tahun lalu.
Jelasnya, proses tersebut melibatkan kawasan pemilikan tanah seluas 2,500 ekar tanah di darat dan 1,700 ekar tanah di dasar laut.
Terminal Ketiga Pelabuhan Klang di Pulau Carey merupakan projek strategik yang penting bagi memperkukuh keupayaan ekonomi dan kedudukan negara dalam sektor pelabuhan serta logistik.
Malah, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan semua agensi berkaitan untuk bergerak pantas dalam merealisasikan pembangunan Terminal Ketiga Pelabuhan Klang di Pulau Carey.









