ad

MB: Kawasan seluas 4,200 ekar di Pulau Carey dimajukan sebagai pelabuhan

17 Sep 2025, 12:36 PM
MB: Kawasan seluas 4,200 ekar di Pulau Carey dimajukan sebagai pelabuhan
MB: Kawasan seluas 4,200 ekar di Pulau Carey dimajukan sebagai pelabuhan

SHAH ALAM, 17 SEPT: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menjalin kerjasama strategik dengan Yayasan Selangor untuk membangunkan Pulau Carey yang mampan dan berdaya saing bagi tujuan pembangunan pelabuhan ketiga. 

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kawasan seluas 4,200 ekar telah dikenal pasti untuk dimajukan sebagai pelabuhan, sekali gus membawa limpahan ekonomi kepada Selangor untuk tempoh 20 atau 30 tahun mendatang.  

“Dari 4,200 ekar, 2,500 di dasar laut manakala 1,700 berdekatan di persisir pantai yang akan dibangunkan.

“Dengan 4,200 ekar secara keseluruhannya ini juga akan menjadi pemangkin kepada keseluruhan pembangunan di Projek Wilayah Pembangunan Bersepadu di Selangor Selatan (IDDRIS) seiring melalui pembentangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Rancangan Malaysia ke-13.

“Insya-Allah pembangunan turut memberikan potensi baru kepada PKNS sebagai unit pembangunan negeri, dan juga mampu untuk mengukuhkan kedudukan Yayasan Selangor menyambung tugas untuk membiayai institusi pendidikan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara PKNS dan Yayasan Selangor di sini hari ini. 

PKNS diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Mahmud Abbas manakala Yayasan Selangor diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Raja Nazirin Shah Raja Mohamad dengan disaksikan Amirudin. 

Amirudin berkata selepas permeteraian perjanjian itu, Kerajaan akan berbincang dengan Kementerian Pengangkutan untuk tentukan pihak (Negeri atau Persekutuan) untuk majukan tanah ini yang dijangka muktamad dalam tempoh sebulan.

“PKNS akan terlibat secara aktif dengan menjadi pemegang amanah kepada negeri malahan ia akan menjadi wakil kepada Kerajaan Selangor memegang syer hak milik kepada pelabuhan yang akan dibina di Pulau Carey.

"Beza Pelabuhan ketiga ini dengan Pelabuhan Klang kita mempunyai penyertaan dan keterlibatan aktif dalam aspek pembinaan serta operasi pelabuhan,” katanya. 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.