Mayat dalam beg ditemui dalam rumah tiada penghuni

18 Dis 2025, 10:57 AM
Mayat dalam beg ditemui dalam rumah tiada penghuni

SEREMBAN, 18 DIS: Polis mengesahkan penemuan mayat dalam sebuah beg di sebuah rumah tidak berpenghuni di Kampung Batu 4, Pedas, dekat sini hari ini.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad berkata bagaimanapun, jantina serta identiti mangsa belum dapat dikenal pasti dan pihaknya masih menjalankan siasatan.

“Mayat dihantar ke Hospital Rembau untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu, anak kepada pemilik rumah berkenaan yang enggan dikenali ketika ditemui berkata dia dimaklumkan mengenai kejadian terbabit oleh ibu saudaranya melalui panggilan telefon pada 4 pagi tadi.

Wanita berusia 30-an itu berkata ketika panggilan dibuat, dia sedang tidur dan terkejut kerana kediaman terbabit sudah ditinggalkan kira-kira dua tahun lalu dan kali terakhir dia ke rumah itu adalah pada 4 Disember lepas.

“Ibu saudara maklumkan polis meminta kebenaran untuk membuat pemeriksaan ke kawasan rumah arwah ibu. Saya tiba pada 9 pagi, polis sudah ramai dan kawasan itu tidak dibenarkan masuk.

“Saya cuma datang ke sini untuk lihat rumput belakang rumah dan cadang mahu berkumpul dengan adik-beradik untuk kemas tetapi ditangguhkan kerana cuaca kerap hujan,” katanya yang tinggal di Chembong.