CYBERJAYA, 18 DIS: Lembaga Zakat Selangor (LZS) memperuntukkan RM36.5 juta bagi membantu persiapan persekolahan 85,336 pelajar asnaf di seluruh Selangor menjelang sesi akademik baharu bermula Januari depan.
Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd Khaidir Shahari berkata, agihan zakat itu merangkumi bantuan yuran persekolahan serta kelengkapan peralatan sekolah bagi anak-anak asnaf di negeri ini.
“Bantuan ini melibatkan 651 orang pelajar pra persekolahan, 42,569 pelajar Sekolah Kebangsaan atau Sekolah Rendah Agama dan 42,116 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan atau Sekolah Menengah Agama.
“Bantuan yuran RM100 kepada murid Pra Sekolah, RM150 bagi Sekolah Rendah Kebangsaan atau Agama serta RM250 bagi pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan atau Agama,” katanya ketika berucap pada Program Simbolik Agihan Bantuan Pendidikan 2026 Lembaga Zakat Selangor di sini, hari ini.

Sementara itu, bantuan kelengkapan persekolahan pula melibatkan kadar RM170 bagi pelajar Sekolah Rendah Kebangsaan, RM150 bagi Sekolah Rendah Agama dan RM200 bagi pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan atau Agama.
Menurutnya, bantuan tersebut akan disalurkan terus kepada ketua keluarga bermula 20 Disember 2025 hingga 20 Mac 2026 menerusi e-dompet iaitu aplikasi Nine di 94 outlet dan pasar raya terpilih di seluruh Selangor.
“Penerima bantuan boleh membuat penebusan di Pusat Pakaian Hari-Hari, Pasaraya Borong Sakan, Pasaraya MM, Rakan Niaga Canggih dan Teraju Ekonomi Asnaf Sdn. Bhd. (TERAS),” tambahnya.
Dalam pada itu, Khaidzir menyifatkan bantuan tersebut bukan sekadar meringankan beban kewangan ibu bapa, malah merupakan pelaburan jangka panjang bagi memastikan anak-anak asnaf terus berada dalam sistem pendidikan dan berpeluang membina masa depan yang lebih baik.
Terdahulu, simbolik penyerahan bantuan disempurnakan oleh Ahli Pemegang Amanah LZS, Dato’ Paduka Profesor Emeritus Dr. Muhamad Awang serta turut hadir Orang Besar Daerah Sepang, Tengku Dato' Dr. Jamaluddin Tengku Mahmud Shah Alhaj.



