PBT guna lori kompaktor baharu mulai tahun hadapan, kutipan sampah lebih efisien

18 Dis 2025, 6:00 AM
PBT guna lori kompaktor baharu mulai tahun hadapan, kutipan sampah lebih efisien
PBT guna lori kompaktor baharu mulai tahun hadapan, kutipan sampah lebih efisien
PBT guna lori kompaktor baharu mulai tahun hadapan, kutipan sampah lebih efisien
PBT guna lori kompaktor baharu mulai tahun hadapan, kutipan sampah lebih efisien

SHAH ALAM, 18 DIS: Hampir semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor bakal menggunakan lori kompaktor dan roro (roll on roll off) baharu bermula tahun hadapan, kata pengarah urusan KDEB Waste Management (KDEBWM).

Dato’ Ramli Mohd Tahir berkata pertukaran kenderaan itu kepada kapasiti lebih besar membolehkan kutipan sampah lebih banyak selain mengelak berlakunya kerosakan yang menjejaskan operasi.

“Semua PBT akan gunakan kenderaan baharu kecuali Majlis Bandaraya Shah Alam dan Majlis Perbandaran Kuala Selangor. Ini kerana kontrak kedua-duanya tamat pada Mac dan Disember tahun hadapan.

“Terkini, Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) dan sebahagian pentadbiran Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) akan terima lori baharu pada Januari nanti.

“KDEBWM memastikan pertukaran aset baharu tidak akan timbul isu kerosakan dan gangguan kutipan sampah. Pembaharuan kontrak ini juga mengambil kira aspek penempatan baharu dan penambahan penduduk,” katanya.

Pengarah Urusan KDEB Waste Management (KDEBWM) Dato’ Ramli Mohd Tahir ditemui dalam operasi pembersihan di Jalan Kristal, Seksyen 7, Shah Alam pada 17 Disember 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Beliau ditemui selepas meninjau operasi pembersihan yang dilaksana KDEBWM di Jalan Kristal Seksyen 7 di sini, hari ini yang turut dihadiri EXCO Kerajaan Tempatan Dato’ Ng Suee Lim.

Dalam pada itu, Ramli memaklumkan setiap aduan yang diterima KDEBWM sama ada menerusi aplikasi iClean atau wakil rakyat dan ahli majlis akan diselesaikan dalam tempoh 24 jam.

“Kita memang terima aduan dan ia sentiasa dibincang setiap bulan bersama PBT dalam mesyuarat khas. Tindakan segera akan diambil tetapi kadang kala aduan diterima tidak berasas atau sering berulang.

“Tetapi, kita tetap ambil maklum dan KDEBWM juga turut selesaikan isu pembuangan sampah haram biarpun ia di luar bidang kuasa,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau turut menegaskan warga asing tidak dibenarkan memandu lori kompaktor sebaliknya warga tempatan memilik lesen sahaja dibenarkan.

“Sepanjang pemantauan kita, memang tidak ada, sekiranya ditangkap tindakan akan diambil kepada kontraktor dilantik,” katanya.