Lelaki tikam nenek, tetak moyang dipercayai alami halusinasi sejak usia 18 tahun

17 Dis 2025, 5:07 AM
Lelaki tikam nenek, tetak moyang dipercayai alami halusinasi sejak usia 18 tahun

BALING, 17 DIS: Lelaki yang menikam neneknya sehingga maut serta menetak moyangnya hingga parah di sebuah rumah di Kampung Baru Bakai, dekat Kuala Ketil, di sini semalam, dipercayai mengalami gangguan halusinasi sejak usia 18 tahun.

Perkara itu didedahkan adik suspek yang memaklumkan abangnya sering berhalusinasi dan bercakap seorang diri, namun sebelum ini tidak pernah mengganggu sesiapa.

“Abang alami gangguan dan berhalusinasi, malah kadang-kadang cakap seorang diri. Keadaan itu berlaku sejak usianya 18 tahun tetapi dia tak kacau orang,” katanya ketika ditemui, lapor Berita Harian.

Menurut remaja perempuan berusia 19 tahun itu, selepas kejadian tikaman dan tetakan tersebut, suspek sendiri meminta ahli keluarga membuat laporan polis.

“Lepas dia tikam tok dan tetak moyang, dia suruh buat laporan polis sambil beritahu suruh datang tengok tok pengsan ka apa ka,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan seorang lelaki berusia 21 tahun ditahan polis selepas dipercayai menikam neneknya berusia 65 tahun sehingga maut serta menetak moyangnya yang berusia 80 tahun hingga parah.

Suspek kini ditahan bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh serta Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Mengulas lanjut, adik suspek memaklumkan ketika kejadian berlaku, hanya nenek, moyang dan ibu saudara mereka berusia 28 tahun yang juga anak istimewa berada di dalam rumah bersama suspek.

Katanya, bapa saudara yang turut tinggal di rumah berkenaan tiada di rumah ketika kejadian.

“Saya terkejut terima panggilan daripada ibu saudara jam 6.44 petang semalam. Ketika itu saya teman emak balik ke Penaga, Pulau Pinang kerana kami menetap di sana,” katanya.

Tambahnya, suspek yang sudah lama tidak pulang ke rumah neneknya tiba-tiba mengajak ibu mereka pulang ke kampung walaupun ibunya memaklumkan tidak mempunyai wang, sebelum kejadian tragis itu berlaku.