Mayat lelaki ditemukan dalam kereta miliki 20 rekod jenayah, narkotik

24 Mei 2026, 1:56 AM
Mayat lelaki ditemukan dalam kereta miliki 20 rekod jenayah, narkotik

SHAH ALAM, 24 MEI: Polis mengesahkan mayat ditemukan dalam sebuah Proton Wira di tepi jalan Simpang 3 Tawar, Baling berhampiran jirat Cina semalam adalah lelaki tempatan berusia 30-an.

Ketua Polis Daerah Baling Superintendan Brandon Richard Joe berkata pihaknya menerima maklumat berhubung penemuan lelaki dalam keadaan tidak sedarkan diri pada jam 11.35 pagi.

Menurut beliau, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling kemudian bergegas ke lokasi sebelum mendapati kenderaan tersebut berada dalam keadaan berkunci.

“Hasil pemeriksaan mendapati lelaki di dalam kenderaan itu sudah meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling turut dipanggil bagi membantu membuka pintu kenderaan dan mengeluarkan mayat mangsa.

Katanya, pasukan Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah turut menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian.

“Siasatan awal mendapati lelaki itu adalah warga tempatan berusia 30-an dan hasil semakan rekod mendapati si mati mempunyai 20 rekod jenayah lampau membabitkan jenayah dan narkotik,” katanya.

Menurut Brandon, hasil pemeriksaan turut mendapati Proton Wira tersebut mempunyai rekod hilang di Pendang dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Berikutan itu, polis merampas kenderaan terbabit bagi tujuan siasatan lanjut.

Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk tindakan lanjut.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Ketua Polis Balai Tawar Sarjan Mejar Hafeedz Amil di talian 017-5588637 atau balai polis berhampiran.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.