SHAH ALAM, 16 DIS: Seorang lelaki dipercayai mengamuk sebelum menikam neneknya hingga maut serta menetak moyangnya sehingga parah dalam kejadian di Kampung Baru Bakai, Kuala Ketil, semalam.
Ketua Polis Daerah Baling Superintendan Brandon Richard Joe berkata suspek berusia 21 tahun itu ditahan pada jam 7.50 malam selepas dibawa orang awam ke balai polis berhampiran sejurus kejadian berlaku.
Menurutnya, mangsa yang maut berusia 65 tahun merupakan nenek kepada suspek, manakala mangsa cedera parah berusia 80 tahun ialah ibu kepada si mati.
“Siasatan awal mendapati suspek merupakan individu orang kurang upaya (OKU) intelektual dan dipercayai bertindak agresif sebelum menyerang kedua-dua mangsa menggunakan senjata tajam,” katanya seperti dilapor BH Online.
Beliau berkata senjata tajam yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu telah ditemui dan dirampas bagi tujuan siasatan lanjut.
Tambahnya, suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan telah mengaku menikam serta menetak nenek dan moyangnya di lokasi kejadian.
“Suspek akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Baling hari ini bagi permohonan reman untuk membantu siasatan lanjut,” katanya.
Kes disiasat mengikut peruntukan undang-undang berkaitan dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan.


