Padah cemar alam sekitar, dua kilang di Klang didenda RM2,000 – MBDK

17 Dis 2025, 3:38 AM
Padah cemar alam sekitar, dua kilang di Klang didenda RM2,000 – MBDK

SHAH ALAM, 17 DIS: Dua kilang dikenakan kompaun keseluruhan RM2,000 oleh Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) kerana menyebabkan pencemaran alam sekitar, menurut pengarah Jabatan Komunikasi Korporat MBDK.

Norfiza Mahfi memeritahu pemeriksaan mendapati sebuah kilang memproses jongkong aluminium di Taman Perindustrian Klang Sentral melepaskan habuk ke persekitaran serta menghasilkan bau tidak menyenangkan.

Beliau berkata operasi penguatkuasaan melibatkan anggota Jabatan Penguatkuasaan dan Jabatan Perlesenan MBDK dilakukan susulan aduan penduduk berhubung pelepasan asap dan bau busuk, terutamanya pada waktu petang.

Pengarah Jabatan Komunikasi Korporat Majlis Bandaraya Diraja Klang Norfiza Mahfiz. Foto Facebook Majlis Bandaraya Diraja Klang

"MBDK mengeluarkan dua kompaun, iaitu denda RM1,000 di bawah Undang-Undang Kecil 32 (MBDK) 2007 kerana melepaskan asap dan habuk.

"Selain itu, kompaun RM250 turut dikeluarkan di bawah Seksyen 46(1)(d) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 kerana menghalang ruang awam apabila barangan disimpan di luar premis," katanya.

Dalam operasi berasingan di Sungai Kapar Indah, MBDK mendapati sebuah kilang yang menjalankan aktiviti sama turut menyebabkan pencemaran asap dan habuk. Kompaun RM1,000 dikeluarkan terhadap kilang tersebut di bawah Undang-Undang Kecil 32 (MBDK) 2007.

Norfiza menekankan tindakan ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan MBDK untuk memastikan pematuhan undang-undang serta melindungi alam sekitar dan keselesaan penduduk setempat.