Muhammad Irfan pertahan emas lempar cakera, pecah rekod Sukan SEA

16 Dis 2025, 12:53 PM
Muhammad Irfan pertahan emas lempar cakera, pecah rekod Sukan SEA

SHAH ALAM, 16 DIS: Jaguh lempar cakera negara, Muhammad Irfan Shamsuddin meraih pingat emas ketujuh berturut-turut di Sukan SEA selepas kekal mendominasi acara itu di Stadium Nasional Supachalasai, hari ini.

Lebih manis, atlet berusia 30 tahun dari Negeri Sembilan itu turut mencipta sejarah peribadi apabila memecahkan rekod temasya dengan lemparan sejauh 60.23 meter (m), lapor Berita Harian.

Catatan itu memadamkan rekod lama 59.50m milik bekas jaguh Singapura, James Wong Tuck Yim, yang bertahan sejak Sukan SEA Brunei 1999, sekali gus mengesahkan keunggulan Irfan di pentas serantau.

Kejayaan itu juga menyaksikan Irfan tidak pernah terlepas meraih emas sejak edisi 2013 di Myanmar, sebelum meneruskan dominasi pada setiap penganjuran seterusnya.

Pingat perak dimenangi wakil tuan rumah, Bandit Singhatongkul dengan lontaran 53.82m, manakala atlet Filipina, Russel Ricaforte, meraih gangsa hasil lemparan 53.34m.

Untuk rekod, Irfan juga adalah pemegang rekod kebangsaan dengan catatan 62.55m yang dilakukannya pada tahun 2017 di Austria.