SHAH ALAM, 1 JULAI: Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Selangor akan menjadi platform utama mengenal pasti dan membangunkan bakat baharu sebelum diserap ke Program Pelapis Majlis Sukan Negara (MSN) sebagai persediaan menghadapi Sukan SEA 2027.
Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari berkata temasya yang berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos 2026 itu bakal menghimpunkan kira-kira 10,000 atlet daripada 15 kontinjen, termasuk Brunei Darussalam, yang akan bersaing dalam 37 jenis sukan.
"SUKMA bukan sahaja berfungsi sebagai medan pertandingan peringkat kebangsaan, malah menjadi asas penting untuk mengenal pasti atlet berpotensi yang akan dibangunkan secara berperingkat bagi mewakili negara di pentas antarabangsa," katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen, hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden, mengenai manfaat SUKMA 2026 kepada atlet pelapis serta usaha memastikan temasya itu memperkukuh pembangunan atlet negara.
Menurut Dr Mohammed Taufiq, atlet yang memenangi pingat atau menunjukkan prestasi cemerlang di SUKMA 2026 akan diserap ke Program Pelapis MSN bagi menjalani latihan berstruktur serta menyertai pertandingan antarabangsa.
"Atlet Program Pelapis yang menunjukkan peningkatan prestasi secara konsisten seterusnya akan dipertimbangkan menyertai Program Podium sebagai persediaan menghadapi Sukan SEA 2027," katanya.
Beliau berkata kejayaan SUKMA sebagai platform pencarian bakat terbukti apabila 58 atlet daripada 12 jenis sukan yang beraksi pada SUKMA Sarawak 2024 dipilih menyertai Program Pelapis MSN.
"SUKMA bukan sekadar temasya sukan dwitahunan, sebaliknya platform strategik yang memastikan kesinambungan pembangunan atlet negara menerusi laluan pembangunan yang tersusun ke peringkat lebih tinggi," katanya.







