
SHAH ALAM, 25 OGOS: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berhasrat menggunakan khidmat sukarelawan Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 bagi melancarkan penganjuran Sukan SEA tahun depan.
EXCO Pembangunan Sukan Mohd Najwan Halimi berkata Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari menyuarakan perkara itu selepas melihat usaha bakti sukarelawan sepanjang bertugas mengendalikan sukan terbesar negara itu.
“Beliau ada sampaikan hajat KBS yang mahu melamar sukarelawan kita untuk diserap waktu Sukan SEA. Ini satu perkembangan yang baik dan bukti pengiktirafan kementerian terhadap sukarelawan SUKMA.
“Kepada sukarelawan, terima kasih. Insya-Allah ada tindakan susulan dari Kerajaan Negeri untuk kita semarakkan lagi program sukarelawan ini,” katanya ditemui selepas majlis penutup SUKMA 2026 malam tadi.
Mengulas perkara itu, beliau berkata perbincangan lanjut akan dibuat bersama Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat SUKMA, Dato’ Mohd Yazid Sairi bagi membolehkan pelarasan dibuat.
“Kita akan sesuaikan sukarelawan ini dari segi keperluan, kapasiti kerana Sukan SEA ini adalah sukan peringkat Asia Tenggara. Jadi ada keperluan melibatkan venue di Selangor,” katanya.
Sempena SUKMA 2026, seramai 10,000 individu dari pelbagai latar belakang mendaftar menjadi sukarelawan sekali gus memudahkan urusan temasya agar berjalan lancar dan tersusun.
Sebelum sukan dwi-tahunan itu berlangsung, semua sukarelawan terbabit didedah kepada kursus pembentukan sahsiah serta gerak kerja bagi memastikan tugasan mereka disempurnakan sebaik mungkin.
Sukarelawan terbabit juga diberikan latihan asas sebagai pasukan sukarela demi membentuk sahsiah jati diri, seterusnya menjadikan mereka sentiasa bersedia dari segi mental dan emosi.










