KUALA LUMPUR: Kejayaan pasukan Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) negara meraih satu pingat emas dan satu perak pada Sukan SEA Thailand 2025 disifatkan sebagai perkembangan positif menjelang Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.
Pengasas HomeBois, Nureddy Nursal atau Daddyhood berkata prestasi pasukan MLBB Malaysia semakin baik sejak penyertaan pertama pada 2019 sehingga kejayaan terbaharu di Bangkok, lapor Berita Harian.
Menurutnya, pencapaian kali ini adalah yang terbaik setakat ini apabila pasukan lelaki berjaya membawa pulang pingat emas dan perak.
“Pada saya, ini satu peningkatan yang baik untuk MLBB di Malaysia,” katanya.
Skuad wanita negara yang beraksi di Bangkok terdiri daripada Qurratul Ain Nurfarisha Mohd Nizam, Afrina Balqis Ibdhi Har Ali, Hanis Wahidah Mohamad Dashuki, Queenie Lim dan Sharifah Alia Husna Syed Fakrrurozi.
Dalam pada itu, Nureddy berkata keserasian dan komunikasi antara pemain amat penting dalam MLBB, terutama bagi menghadapi kejohanan besar seperti Sukan Asia.
“Pemain perlu saling memahami dari segi komunikasi, corak permainan dan arahan jurulatih bagi mencapai sasaran yang ditetapkan,” katanya.


