Jejas jadual kutipan sisa pepejal, KDEBWM gesa selesai isu jalan rosak ke tapak pelupusan

16 Dis 2025, 9:36 AM
Jejas jadual kutipan sisa pepejal, KDEBWM gesa selesai isu jalan rosak ke tapak pelupusan

SHAH ALAM, 16 DIS: Keadaan jalan menuju ke Tapak Pelupusan Sanitari Tanjung 12, Kuala Langat yang rosak dipercayai berpunca pergerakan lori tanah milik pemaju tapak industri, menjejaskan kelancaran operasi pengurusan sisa pepejal di Selangor.

Pengurus Besar Operasi KDEB Waste Management (KDEBWM), Mohd Idris Mohamed Yusof berkata hujan berterusan semasa Monsun Timur Laut memburukkan lagi keadaan jalan yang sedia rosak, sekali gus meningkatkan risiko keselamatan serta kerosakan kenderaan.

Menurutnya, beberapa lori mengalami kerosakan termasuk kenderaan baharu, menyebabkan jadual kutipan sisa pepejal di beberapa kawasan komuniti terjejas.

“Kelewatan berlaku apabila lori terpaksa bergerak perlahan dan berhati-hati demi keselamatan pemandu serta kru. Permukaan jalan yang berlubang dan tidak diselenggara segera turut meningkatkan risiko kemalangan,” katanya.

Beliau memaklumkan beberapa insiden kemalangan termasuk lori tergolek dilaporkan susulan keadaan jalan yang sempit dan rosak teruk, khususnya di hadapan kawasan projek.

“Keadaan ini memaksa lori menunggu lama sebelum dapat meneruskan perjalanan, sekali gus memberi kesan langsung kepada operasi kutipan sisa di kawasan lebih jauh seperti Ampang, Shah Alam dan Subang Jaya serta berpotensi meningkatkan aduan awam berkaitan kelewatan kutipan,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengurus Besar Komunikasi Korporat KDEBWM, Mahfuzah Muhammad Tarmidi berkata pihaknya telah mengadakan perbincangan di lapangan bersama agensi berkaitan dan pihak berkepentingan bagi mencari penyelesaian jangka pendek.

Antara langkah dicadangkan ialah pelaksanaan kerja baik pulih segera di sepanjang laluan terjejas serta penggunaan laluan lencongan melalui kawasan Tanjung 12 bagi lori KDEBWM.

“Langkah ini bagi memastikan penghantaran sisa ke tapak pelupusan yang diuruskan Worldwide Holdings Berhad dapat diteruskan tanpa gangguan,” katanya.

KDEBWM berharap satu keputusan segera dapat dicapai berhubung tarikh pembaikan menyeluruh jalan berkenaan bagi menjamin keselamatan pemandu serta memastikan operasi kutipan sisa pepejal berjalan lancar untuk jangka panjang.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.