SHAH ALAM, 8 OKT: KDEB Waste Management (KDEBWM) menyasarkan penambahbaikan tahap kebersihan di semua kampung tradisi di Selangor dapat diselesaikan menjelang Disember ini, dengan pelaksanaannya kini mencapai hampir 70 hingga 80 peratus.
Pengarah Urusannya, Dato' Ramli Mohd Tahir berkata, inisiatif berkenaan sudah dilaksanakan di beberapa kawasan termasuk Hulu Langat, Klang, Selayang dan Sepang.
"Kita sudah mulakan di Hulu Langat, Klang, Selayang dan Sepang. Sekarang kita mahu selesaikan pelaksanaan di seluruh Selangor.
"Kita sudah mencapai hampir 70 hingga 80 peratus kawasan dan baki pelaksanaan dijangka dapat diselesaikan menjelang Disember," katanya kepada Media Selangor.
Beliau berkata, penambahbaikan itu melibatkan peningkatan kekerapan kutipan sampah selain penambahan tong Roll-On Roll-Off (RORO), tong sampah beroda MGB 240 liter dan MGB 660 liter.

Menurutnya, langkah berkenaan menunjukkan perubahan positif apabila kawasan kampung tradisi kini semakin bersih, kemas dan sistematik.
"Kita nampak sudah banyak perubahan. Kawasan kampung tradisi semakin bersih dan ini membuktikan bahawa dengan peruntukan serta kekerapan kutipan tambahan, pengurusan kebersihan dapat dilaksanakan dengan lebih baik," ujarnya.
Sementara itu, Ramli berharap Kerajaan Negeri dapat mempertimbangkan peruntukan tambahan dan tetap bagi memastikan penambahbaikan perkhidmatan kebersihan di kawasan kampung tradisi dapat diteruskan, termasuk mengekalkan kekerapan kutipan sampah sedia ada.
Katanya, keperluan itu penting berikutan kepadatan penduduk serta aktiviti perniagaan di kawasan kampung yang menyumbang kepada peningkatan jumlah sisa pepejal.
"Kalau boleh diwujudkan satu peruntukan tetap untuk kawasan kampung tradisi, saya rasa ia akan menjadikan kawasan ini lebih kemas dan bersih.
"Ini kerana kawasan kampung mempunyai penduduk yang padat dan aktiviti perniagaan yang turut menghasilkan jumlah sampah lebih tinggi," katanya.

Sebelum ini, KDEBWM melaporkan aduan berkaitan kebersihan di 132 kampung tradisi seluruh Selangor berkurang sehingga 70 peratus susulan pelaksanaan pelan pengindahan.
Jumlah aduan di kawasan titik panas yang sebelum ini mencecah kira-kira 100 sebulan turut menurun kepada 30 selepas tiga bulan pelaksanaan inisiatif berkenaan.
Untuk rekod, Selangor mempunyai 275 kampung tradisi dengan RM10 juta diperuntukkan bagi menambah baik sistem kutipan sisa pepejal dan meningkatkan tahap kebersihan di kawasan berkenaan.
Projek rintis fasa pertama yang bermula tahun ini dilaksanakan di beberapa kampung tradisi di Klang, Kajang, Selayang, Gombak, Hulu Langat, Kuala Langat, Kuala Selangor dan Subang Jaya.








