SHAH ALAM, 15 DIS: Air mata kegembiraan mengiringi kejayaan skuad sepak takraw negara apabila ketua jurulatih, Ahmad Jais Baharun, tidak dapat menahan perasaan selepas menyaksikan anak buahnya menewaskan tuan rumah Thailand untuk meraih pingat emas acara regu berpasukan lelaki Sukan SEA, semalam.
Ahmad Jais berkata kemenangan bersejarah itu amat bermakna buat dirinya kerana bukan sekadar menamatkan kemarau 34 tahun pingat emas, malah memberi kepuasan berganda apabila beliau kini berada di sisi sebagai jurulatih kepada generasi baharu pemain negara.
“Tempoh 34 tahun itu sangat lama. Alhamdulillah, dengan kesabaran dan semangat yang tidak pernah luntur, akhirnya Malaysia berjaya kembali meraih emas.
“Ketika perlawanan, tekanan memang sangat terasa, namun saya berserah kepada Tuhan. Yang penting, pemain tidak melakukan kesilapan mudah,” katanya ketika dihubungi, lapor Berita Harian.
Kejayaan itu turut mengimbau nostalgia manis Sukan SEA 1991 di Manila apabila Malaysia menewaskan Thailand untuk memenangi emas acara berpasukan, ketika Ahmad Jais masih bergelar pemain.
“Pingat emas ini seolah-olah menghidupkan kembali kenangan lama. Bezanya kali ini lebih manis kerana saya menyaksikannya sebagai jurulatih,” katanya.
Menurut beliau, kejayaan skuad negara adalah hasil disiplin tinggi, persiapan rapi serta kekuatan mental pemain yang kekal fokus meskipun beraksi di gelanggang lawan di hadapan ribuan penyokong tuan rumah.
“Thailand pasukan yang agresif dan berpengalaman, namun semangat juang pemain kita sangat luar biasa. Mereka menunjukkan kelas tersendiri,” katanya.
Dalam aksi penuh debaran di Nakhon Pathom, Malaysia mencatat kemenangan 2-1 ke atas Thailand.
Regu pertama negara yang dibarisi Haziq Hairul Nizam, Muhammad Noraizat Mohd Nordin dan Amirul Zazwan Amir tewas 9-15, 15-11, 13-15 kepada trio Thailand Pornthep Tinbangbon, Varayut Jantarasena dan Marukin Phanmakon.
Bagaimanapun, regu kedua yang dianggotai Mohammad Syahir Rosdi, Mohamad Azlan Alias dan Farhan Adam bangkit menyamakan kedudukan selepas mencatat kemenangan 17-14, 15-13 ke atas Siriwat Sakha, Thawisak Thongsai dan Rachan Viphan.
Momentum kebangkitan diteruskan oleh regu ketiga negara yang menampilkan Muhammad Zulkifli Abd Razak, Muhammad Afifuddin Mohd Razali dan Aidil Aiman Azwawi, apabila mereka tampil tenang menewaskan 15-13, 15-11 untuk memastikan pingat emas milik Malaysia.
Kejayaan itu sekali gus menamatkan penantian panjang negara dalam acara regu berpasukan lelaki sepak takraw di Sukan SEA serta mengukuhkan status Malaysia sebagai antara kuasa besar sukan tersebut di Asia Tenggara.



