SHAH ALAM, 17 DIS: KDEB Waste Management (KDEBWM) akan mengadakan perbincangan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi meningkatkan tahap pengurusan sampah susulan titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.
Pengarah Urusan KDEBWM, Dato’ Ramli Mohd Tahir berkata pihaknya akan menilai semula sistem sedia ada bagi mengenal pasti kelemahan yang perlu diperbetulkan agar pengurusan sisa pepejal lebih teratur dan efisien.
"Kita akan melihat sekiranya ada pihak yang tidak mendapat perhatian sebelum ini. Kadang-kadang ada juga yang berlaku di luar kawalan kita seperti pembuangan sampah merata-rata atau banjir.
"KDEBWM sedang berbincang dengan PBT bagi meningkatkan frekuensi jadual kekerapan pengurusan sampah, mungkin ditingkatkan sehari sekali di kawasan komersial," katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan hadiah Kempen Penebusan Mesra Rewards 2025 di sini, hari ini.
Ramli berkata, lambakan sampah lazimnya berlaku apabila pembuangan dilakukan di luar jadual kutipan yang ditetapkan, menyebabkan sesetengah kawasan menjadi tidak terurus.

"Memang di kawasan komersial ini akan terdapat lambakan sampah selepas penutupan kedai waktu malam. Apabila keesokan harinya sampah tersebut tidak terurus, ia akan dibuat aduan oleh masyarakat," tambahnya.
Terdahulu, Bernama melaporkan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menerima banyak aduan mengenai keadaan kotor di Selangor, menegaskan bahawa baginda mahu perancangan segera dilakukan untuk membersihkan negeri itu.
Baginda bertitah peningkatan ketara aduan lengkap dengan nama serta maklumat untuk dihubungi, menunjukkan rakyat benar-benar mahukan tindakan susulan, sekali gus mencerminkan tahap keprihatinan awam yang semakin tinggi terhadap isu kebersihan bandar.
Titah baginda, Selangor sepatutnya menjadi model kemajuan, kecekapan dan pentadbiran yang baik, "tetapi rakyat beta mengadu bahawa berjalan di kebanyakan bandar dan pinggir bandar hari ini tidak seperti yang diuar-uarkan."
Susulan itu, Kerajaan Negeri mengarahkan semua PBT mengumpul data lengkap kawasan 'hotspot' pembuangan sampah haram dalam tempoh seminggu.
EXCO Kerajaan Tempatan, Dato’ Ng Suee Lim berkata arahan itu diputuskan dalam satu mesyuarat khas yang dipengerusikannya pada Isnin lalu bersama wakil PBT, KDEBWM, Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta unit berkaitan.
Menurut beliau, tindakan segera itu melibatkan pemantauan lebih kerap di lokasi dikenal pasti serta penyelarasan jadual kerja bagi memastikan aduan awam dapat ditangani dengan lebih berkesan.


