SHAH ALAM, 15 DIS: Polis Selangor menumpaskan sebuah stor penyimpanan dan pembungkusan dadah di Kajang hasil operasi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor pada 8 Disember lalu.
Ketua Polis negeri, Dato’ Pahlawan Shazeli Kahar berkata, dua wanita tempatan dan seorang lelaki warga asing berusia lingkungan 40 hingga 45 tahun yang dipercayai berperanan sebagai pengedar dan pengurus stor ditahan.
“Polis merampas pelbagai jenis dadah termasuk serbuk dan pil ekstasi, ketamin, syabu, pil Erimin 5, pil Yaba, ganja serta cecair ekstasi dengan anggaran nilai keseluruhan RM10.4 juta.
"Sebuah kenderaan jenis Honda City serta barangan kemas dianggarkan bernilai RM52,600 yang dipercayai hasil aktiviti pengedaran dadah turut disita,” katanya dalam sidang media hari ini.
Menurut Shazeli, siasatan awal mendapati dadah tersebut dipercayai untuk pasaran Lembah Klang dan operasi stor berkenaan dijalankan secara terancang bagi tujuan penyimpanan serta pembungkusan sebelum diedarkan.
“Kesemua suspek direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Shazeli menegaskan polis akan terus mempergiat operasi dan tindakan penguatkuasaan bagi mengekang aktiviti pengedaran dadah di negeri ini.
"Orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan siasatan, tindakan tegas boleh diambil terhadap pihak yang menyebarkan berita palsu," katanya.





