SHAH ALAM, 15 Dis: Semua penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial yang mempunyai lapan juta atau lebih pengguna di Malaysia akan disifatkan berdaftar sebagai pemegang lesen bermula 1 Januari depan.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC memaklumkan, langkah itu dilaksanakan menerusi Peruntukan Deeming di bawah Seksyen 46A Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang membolehkan penyedia perkhidmatan tertakluk kepada Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP(C)) tanpa perlu melalui formaliti pendaftaran biasa.
Menurutnya, inisiatif berkenaan bertujuan memastikan penyedia perkhidmatan berskala besar yang menawarkan perkhidmatan kepada pengguna di Malaysia beroperasi dalam kerangka perundangan serta kawal selia negara secara lebih teratur, konsisten dan berkesan.
"Pendekatan ini juga selaras dengan kerangka pelesenan penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial yang mula dikuatkuasakan pada 1 Januari 2025, bagi mengukuhkan tahap akauntabiliti serta pematuhan terhadap undang-undang Malaysia," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Selain itu, MCMC menjelaskan pelaksanaan ini bertujuan memastikan semua platform terlibat memikul tanggungjawab yang lebih jelas terhadap keselamatan pengguna, khususnya dalam melindungi kanak-kanak dan keluarga.
"Pelaksanaan Peruntukan Deeming ini akan melibatkan penyedia perkhidmatan yang memenuhi kriteria ditetapkan, termasuk WhatsApp, Telegram, Facebook, Instagram, TikTok dan YouTube, dan akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026," katanya.
MCMC turut menjelaskan penyedia perkhidmatan yang telah berdaftar sebagai pemegang lesen ASP(C) akan kekal berdaftar, manakala pelaksanaan deeming hanya terpakai selepas tempoh pendaftaran sedia ada tamat.
Tambahnya, semua penyedia perkhidmatan terlibat akan terus beroperasi melalui platform global masing-masing seperti biasa, selaras dengan amalan antarabangsa dalam mengawal selia platform dalam talian berskala besar.
"MCMC akan terus bekerjasama dengan penyedia perkhidmatan serta agensi penguatkuasaan undang-undang bagi memperkukuh keselamatan dalam talian demi manfaat semua pengguna di Malaysia," katanya.


