SHAH ALAM, 14 DIS: Isu penjaja dan peniaga haram di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Medan menjadi antara tumpuan utama untuk ditangani tahun hadapan.
Penyelaras DUN Taman Medan Halimey Abu Bakar berkata perkara itu telah dibincangkan bersama ahli majlis bagi memastikan kebajikan serta nasib peniaga di kawasan berkenaan terus terbela.
“Ada beberapa perancangan yang telah dirangka untuk tahun depan dan telah dibincangkan bersama ahli majlis, antaranya menyelesaikan masalah penjaja dan peniaga haram, khususnya di kawasan PJS4.
“Selain itu, kita juga bercadang untuk memasang bumbung di Pasar PJS4 bagi memberikan keselesaan serta menjamin keselamatan peniaga dan pengunjung,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Makan Malam Menabur Bakti, Menuai Kasih bersama Sukarelawan Penyelaras DUN Taman Medan di Mardhiyyah Hotel & Suites, di sini, semalam.
Mengulas mengenai peruntukan menaik taraf pasar tersebut, Halimey berkata ia berada di bawah seliaan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
“Pasar ini cukup istimewa kerana mempunyai pasar pagi dan pasar malam, namun kawasannya agak terbuka dengan lebih 100 peniaga beroperasi pada satu-satu masa.
“Insya-Allah, permohonan telah dikemukakan kepada pihak berkuasa tempatan dan kerja-kerja pemasangan bumbung dijangka bermula sekitar Mei tahun depan,” katanya.


