SHAH ALAM, 14 DIS: Hampir 100 individu diraikan menerusi Majlis Makan Malam Menabur Bakti, Menuai Kasih anjuran Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Medan di Mardhiyyah Hotel & Suites di sini malam tadi.
Penyelarasnya Halimey Abu Bakar berkata mereka terdiri dalam kalangan ahli majlis, sukarelawan antaranya seperti ketua kampung, ketua komuniti dan Wanita Berdaya Selangor.
“Hari ini kita meraikan hampir 100 orang yang terdiri daripada ahli majlis, majlis pimpinan penduduk yang kita wakilkan setiap zon tiga orang sahaja dan sukarelawan yang sentiasa bersama-sama dengan saya berbakti di kawasan DUN Taman Medan hampir tiga tahun sejak saya dilantik.
“Mereka ini umpama mata dan telinga saya di DUN Taman Medan selain banyak membantu dalam menjayakan setiap program yang dianjurkan,” katanya ketika ditemui di sini malam tadi.
Majlis tersebut turut dihadiri EXCO Belia, Sukan dan Keusahawanan Mohd Najwan Halimi dan Ketua Cabang Keadilan Petaling Jaya Hee Loy Sian.
Menurut Halimey jumlah sukarelawan akan ditingkatkan lagi bagi persediaan menghadapi pilihan raya yang bakal menjelang tiba tidak lama lagi.
Setakat ini kita mempunyai hampir 50 orang sukarelawan dan insya-Allah jumlah ini akan ditambah bagi memperkukuh persiapan menghadapi pilihan raya.
“Siapa pun yang akan bertanding bagi DUN Taman Medan kelak, jentera perlu diperkasakan dan usaha dipertingkatkan. Insya-Allah kita mampu merampas kembali DUN ini,” katanya.



