SHAH ALAM, 14 DIS: Dato’ Menteri Besar menyeru kepada jentera sukarelawan Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Medan untuk bekerja lebih keras bagi menghadapi pilihan raya akan datang.
Dato’ Seri Amirudin Shari bagaimanapun turut mengucapkan terima kasih kepada sukarelawan yang banyak menyumbang bakti dan berkhidmat di DUN Taman Medan.
“Ini merupakan usaha berterusan wajar kita laksanakan demi pertahankan mandat yg kita perolehi semenjak 2008. Memang kita berada dalam situasi belum cukup menang pada pilihan raya lalu.
“Namun, saya percaya dengan perkhidmatan berterusan dan keprihatinan ditonjolkan bersama dengan program Kerajaan Negeri dan santunam kerajaan persekutuan kita mampu untuk mengembalikan Taman Medan di bawah kekuatan kita dalam pilihan raya akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi satu tayangan video pada Majlis Makan Malam Menabur Bakti, Menuai Kasih bersama Sukarelawan Penyelaras DUN Taman Medan di Mardhiyyah Hotel & Suites di sini, malam tadi.
Dalam pada itu, Amirudin turut mengajak semua jentera agar terus bekerja bagi memastikan rakyat di Taman Medan sentiasa disantuni dan pembelaan berterusan dapat dilaksanakan dengan berkesan.
“Kita mahu program Kerajaan Negeri sampai ke bawah dan mencapai matlamat yang disasarkan sekali gus memastikan kita (Pakatan Harapan) terus cemerlang di Petaling Jaya dan Taman Medan,” katanya.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor 2023, calon Pakatan Harapan (HARAPAN), Ahmad Akhir Pawan Chik, tewas tipis kepada wakil Perikatan Nasional (PN), Dr Afif Bahardin, dalam perebutan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Medan.
Dr Afif menewaskan Ahmad Akhir dengan majoriti 30 undi sahaja dengan mendapat 22,316 undi manakala Ahmad Akhir meraih 22,286 undi.


