KUALA SELANGOR, 13 DIS: Persatuan nelayan digesa bekerjasama dengan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) bagi membangunkan projek ekonomi selari dasar Kerajaan Negeri, khususnya dalam memperkukuh keterjaminan makanan.
EXCO Pertanian, Dato’ Ir Izham Hashim berkata projek ekonomi yang dirancang tidak wajar tertumpu kepada tangkapan ikan semata-mata, sebaliknya perlu diperluaskan kepada sumber laut lain seperti kerang serta produk marin bernilai tambah.
“Kerajaan Persekutuan sediakan dana lebih RM30 juta tetapi tahun ini banyak diberikan kepada tanaman dan ternakan sahaja sedangkan nelayan juga penyumbang kepada ekonomi negeri.
"Saya gesa persatuan nelayan bekerjasama dengan LKIM buat kertas kerja projek ekonomi yang sesuai dengan dasar negeri daripada segi keterjaminan makanan.
“Selain dapat bantuan Kerajaan Negeri setiap tahun, mereka juga boleh menerima manfaat dana daripada Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Pembangunan Agropreneur Selangor Bantuan Nelayan di Jeti Hai Gang Fishery, Tanjong Karang, hari ini.
Terdahulu, Izham turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM670,000 kepada nelayan, termasuk peralatan perikanan seperti jaring, bagi membantu meningkatkan keupayaan dan pendapatan golongan terbabit.
Menerusi peruntukan itu, sembilan jeti di Selangor dinaik taraf melibatkan kerja baik pulih kemudahan infrastruktur termasuk titian pejalan kaki dengan peruntukan sebanyak RM200,000.
Selain itu, unjam yang berfungsi sebagai tempat perlindungan serta pengumpulan ikan di tapak ladang ikan di Sepang turut diselenggara dengan peruntukan RM20,000.
Dalam pada itu, Izham memaklumkan pihaknya sedang mempertimbangkan untuk menambah dana kepada golongan nelayan bagi meningkatkan hasil tangkapan, sekali gus memperkukuh ekonomi mereka.
“Setiap tahun kita peruntukan RM2 juta untuk pelbagai jenis bantuan kepada nelayan, penternak, petani, pesawah dan sektor industri asas tani.
“Tahun ini nelayan terima lebih berbanding tahun lepas iaitu RM670,000, namun kita pertimbang untuk tingkat kepada golongan ini terutama keperluan peralatan,” katanya.




