Kampung Tanjung Sepat dipilih Kampung Angkat Madani, terima RM1.1 juta

13 Dis 2025, 9:11 AM
Kampung Tanjung Sepat dipilih Kampung Angkat Madani, terima RM1.1 juta

KUALA LANGAT, 13 DIS: Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) menyalurkan peruntukan berjumlah RM1.1 juta menerusi Program Kampung Angkat Madani bagi menaik taraf infrastruktur serta mengukuhkan ekosistem pendidikan di Kampung Tanjung Sepat, di sini.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Tanjung Sepat, Datuk Borhan Aman Shah berkata sebanyak RM1 juta diperuntukkan bagi pembinaan dataran kejat termasuk rawatan tapak, tandas awam, taman permainan, pemasangan kulvert serta sistem saliran kampung.

“Manakala SPP menyalurkan RM100,000 di Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjung Sepat untuk membina laluan pejalan kaki berbumbung, penghawa dingin, penyediaan smartboard dan Smart TV.

“Dipilih sebagai Kampung Angkat Madani dalam kalangan 150 kampung seluruh negara merupakan satu kejayaan buat komuniti setempat,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu, Borhan yang juga EXCO Perumahan dan Kebudayaan Selangor meluncurkan Kampung Angkat Madani dan Sekolah Angkat Madani oleh SPP di Laman Madani, Kampung Tanjung Sepat.

Dalam pada itu, Borhan memaklumkan pihaknya merancang untuk membina sebuah lagi dewan terbuka di kawasan Tanjung Sepat bagi merancakkan aktiviti komuniti setempat.

“Di Kampung Tanjung Sepat ketandusan dataran kejat, jadi tahun hadapan kita akan memohon pembinaan dewan terbuka bagi mengadakan pelbagai aktiviti seperti majlis perkahwinan dan perjumpaan penduduk kampung,” ujarnya.

Majlis peluncuran itu turut dimeriahkan dengan pelbagai pengisian program termasuk aktiviti rewang penduduk kampung serta reruai pameran SPP bersama rakan strategik seperti Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Pusat Wanita Berdaya Selangor dan Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM).

Program Kampung Angkat Madani merupakan inisiatif kerajaan bagi merapatkan jurang pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar, yang dipantau oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri serta diterajui oleh Kementerian Kewangan.

Program itu bertujuan menyediakan kemudahan asas seperti bekalan air, elektrik, jalan raya, lampu jalan, akses internet serta fasiliti komuniti di kampung-kampung terpilih.

Sebanyak RM200 juta diperuntukkan kerajaan bagi pelaksanaan program berkenaan yang melibatkan 200 buah kampung di seluruh negara.