SHAH ALAM, 13 DIS: Lebih 7.4 juta pokok pelbagai spesies ditanam di seluruh Selangor dari 2021 hingga Jun 2025 menerusi pelbagai inisiatif penghijauan yang digerakkan Kerajaan Negeri bersama agensi, pihak berkuasa tempatan (PBT) serta sektor swasta.
EXCO Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin berkata usaha berterusan itu bukan sahaja menambah bilangan pokok baharu, malah memperkukuh pemuliharaan ekosistem termasuk kawasan tanah lembap agar kekal lestari untuk generasi akan datang.
“Ia selari dengan Kempen Penghijauan Malaysia yang menekankan pemuliharaan biodiversiti dan penglibatan masyarakat.

“Program penanaman pokok juga berperanan sebagai benteng ekologi yang menyumbang kepada kestabilan iklim, kawalan suhu serta peningkatan kualiti udara,” katanya ketika berucap pada Program Growing Roots (PGR) 2025 di Paya Indah Wetlands, Dengkil semalam, lapor Harian Metro.
Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) merekodkan 1,861,716 batang pokok melibatkan 880 spesies ditanam dalam tempoh empat tahun, manakala PBT pula merekodkan 5,547,100 tanaman baharu.
Penanaman itu merangkumi pelbagai spesies termasuk pokok teduhan besar seperti angsana dan tembusu, selain pokok teduhan sederhana serta kecil antaranya Tecoma serta pelbagai jenis pokok buah-buahan.
Jamaliah berkata, Paya Indah Wetlands dipilih sebagai lokasi program berikutan kepentingannya sebagai habitat semula jadi pelbagai spesies flora dan fauna, selain berfungsi sebagai kawasan ekologi strategik negeri.

Mengulas kesinambungan agenda penghijauan, Jamaliah berkata Kerajaan Negeri menetapkan sasaran baharu bermula 2026 dengan menyeru setiap PBT, Pejabat Daerah dan Pejabat Tanah (PDT) serta jabatan dan agensi kerajaan menanam sekitar 100,000 pokok setahun.
“Usaha ini bagi mencapai sasaran keseluruhan 11 juta pokok seperti dititahkan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.
“Kerajaan Negeri juga merancang pemberian insentif dan penghargaan kepada jabatan atau agensi yang berjaya mencapai sasaran, selain memastikan JPNS dan Pusat Adaptasi Perubahan Iklim Selangor (SCAC) terus menyelaras serta memantau pelaksanaan semua aktiviti penanaman pokok,” katanya.






