DENGKIL, 12 DIS: Kerajaan Selangor menyediakan insentif kepada jabatan dan agensi yang berjaya mencapai sasaran penanaman 100,000 batang pokok sepanjang tahun depan bagi memperkukuh agenda penghijauan negeri.
EXCO Alam Sekitar, Jamaliah Jamaluddin berkata insentif berkenaan diperkenalkan bagi memastikan sasaran baharu 2026 dapat dicapai selaras dengan agenda penghijauan yang digariskan Kerajaan Negeri.
“Setiap pihak berkuasa tempatan (PBT), Pejabat Daerah dan Tanah serta jabatan dan agensi disasarkan untuk menanam kira-kira 100,000 batang pokok sepanjang tahun bagi mencapai sasaran 11 juta pokok seperti yang dititahkan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Tanam Pokok Mega 2025 di Paya Indah Wetlands, di sini, hari ini.
Menurut Jamaliah, kaedah dan mekanisme penanaman diserahkan kepada kreativiti jabatan masing-masing termasuk pendekatan pengumpulan serta pelaporan data.
Jamaliah berkata, Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) bersama Pusat Adaptasi Perubahan Iklim Selangor (SCACC) akan terus menyelaras dan memantau semua aktiviti penanaman pokok di seluruh negeri.
Tegasnya, komitmen berterusan itu mencerminkan tekad Kerajaan Negeri dalam memastikan usaha pemuliharaan alam sekitar dan penghijauan dilaksanakan secara terancang serta berkesan.
“Kejayaan inisiatif ini memerlukan penyertaan masyarakat dan sektor korporat bagi meningkatkan lagi aktiviti penanaman pokok di kawasan masing-masing,” katanya.


