Tanam pokok perlu jadi budaya, bukan bermusim - EXCO

12 Dis 2025, 11:00 AM
Tanam pokok perlu jadi budaya, bukan bermusim - EXCO
Tanam pokok perlu jadi budaya, bukan bermusim - EXCO

DENGKIL, 12 DIS: Dalam berdepan peningkatan suhu dan risiko banjir, aktiviti penanaman pokok perlu dijadikan budaya masyarakat bagi memastikan usaha pemulihan hijau Selangor dapat dilaksanakan secara konsisten dan mampan.

EXCO Alam Sekitar, Jamaliah Jamaluddin berkata kejayaan menghijaukan Selangor tidak boleh bergantung kepada kerajaan semata-mata, sebaliknya memerlukan penyertaan aktif komuniti setempat, agensi berkaitan serta sektor korporat.

“Penanaman pokok membawa pelbagai kebaikan kepada penduduk setempat atau pemilik tanah. Selain mengurangkan suhu persekitaran, ia juga berperanan mengurangkan risiko banjir dengan meminimumkan air larian permukaan.

“Jadikan penanaman pokok sebagai budaya, bukan acara bermusim kerana usaha kecil seperti ini jika dijalankan secara berterusan mampu memberi impak besar kepada generasi akan datang,” katanya ketika berucap pada Program Tanam Pokok Mega 2025 di Paya Indah Wetlands, di sini, hari ini.

EXCO Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin berucap ketika program Growing Roots 2025 (Tanam Pokok Mega 2025) di Paya Indah Wetland, Kuala Langat pada 12 Disember 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Beliau menegaskan penyertaan masyarakat secara menyeluruh mampu memperkukuh ekosistem setempat selain menyumbang kepada pengurangan suhu dan peningkatan kualiti udara.

Program berkenaan menghimpunkan pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pelajar serta penduduk setempat sebagai sokongan terhadap agenda penghijauan Selangor.

Pada program itu, sebanyak 200 batang pokok Kelat Paya ditanam selain sepohon merbau yang merupakan pokok kebangsaan negara.

Selangor merekodkan penanaman sebanyak 7.4 juta pokok sejak 2021 hingga Jun 2025 sebagai sebahagian usaha berterusan pemuliharaan alam sekitar dan penghijauan negeri ini.