Teater Shah Alam dinaik taraf, sasar pementasan bertaraf dunia menjelang 2030

13 Dis 2025, 12:23 AM
Teater Shah Alam dinaik taraf, sasar pementasan bertaraf dunia menjelang 2030
Teater Shah Alam dinaik taraf, sasar pementasan bertaraf dunia menjelang 2030

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan menyambung usaha membaik pulih kelengkapan dan kemudahan Teater Shah Alam bagi menjadikannya sebuah lokasi pementasan bertaraf dunia menjelang 2030.

Usaha memugar panggung itu sepatutnya bermula dua tahun lalu tetapi kerja itu tertangguh akibat komitmen kewangan berikutan ada keperluan yang lebih mendesak pada masa tersebut.

Pengarah Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta MBSA berkata kerja naik taraf panggung teater itu antara sebahagian pelan strategi MBSA bagi memastikannya berfungsi sebagai pusat kegiatan kesenian rakyat.

“Kita sasarkan Teater Shah Alam dapat digunakan bagi pementasan teater yang bertaraf nasional dan antarabangsa. Jadi, MBSA perlu melakukan pelbagai penambahbaikan,” kata Khairoul Nisya Kamaruddin kepada Media Selangor.

Media Selangor difahamkan bangunan yang dibina sekitar 17 tahun lalu tidak mendapat perkenan istana untuk dinamakan sebagai Teater Diraja Shah Alam ekoran tidak memenuhi piawai sebuah pementasan sebenar.

Khairoul Nisya menjelaskan usaha penambahbaikan yang dirancang untuk Teater Shah Alam antaranya sistem akustik, bilik persalinan, reka bentuk semula pentas utama dan beberapa pengubahsuaian luaran.

Beliau juga memberitahu MBSA menganggarkan keseluruhan penambaikan tersebut menelan belanja sehingga RM32 juta dan kerja tersebut dijadual siap secara berperingkat dalam lima tahun.

“Projek naik taraf ini sepenuhnya bawah peruntukan MBSA, bukan bawah belanjawan negeri,” katanya.

Ditanya kelewatan ubah suai yang sebelum ini dilapor bermula pertengahan 2023, Khairoul Nisya menjelaskan cadangan awal itu terpaksa ditangguhkan kerana MBSA terpaksa mengalih peruntukan yang disediakan pada masa itu untuk keperluan lain.

“Jadi terpaksa ditunda untuk disediakan peruntukan lain. Insya-Allah, pada 2026 akan bermula fasa pertama (pembaikan) dan fasa kedua (naik taraf) yang dijangka pada tahun 2027,” katanya.

Pun begitu, beliau menaruh keyakinan segala usaha penambahbaikan berkenaan akan memberi nafas baharu kepada Teater Shah Alam apabila panggung tersebut siap pada 2029 atau 2030 kelak.

“Mungkin ia akan dapat dijenamakan semula,” tambahnya lagi.

Teater Shah Alam siap dengan kos RM44.5 juta melalui peruntukan negeri dibina pada 2008 termasuk hampir RM6 juta untuk kemudahan pentas. Namun, ia cuma mampu memuatkan 800 penonton atau kira-kira 60 peratus bilangan penonton di Istana Budaya di Kuala Lumpur.

Reka bentuk bangunannya mengambil ilham dua kipas tangan yang ditemukan hujungnya, membentuk bumbung bangunan. Dilihat dari jauh, bumbung itu terbentuk daripada sembilan bilah kipas yang melambangkan sembilan daerah di Selangor.

Rekaan bangunan setinggi 48 meter di tengah-tengah pusat bandar Shah Alam itu turut dikenali sebagai “Kipas Merafak Sembah” dengan elemen seni bina Melayu dan Bugis.

Pada peringkat awal, bangunan ini diletak bawah pengurusan MBSA sebelum dipindah kepada Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT), dan kemudian dikembalikan semula kepada MBSA.