MBSA wajibkan pagar, penutup longkang di perumahan baharu elak kes lemas

10 Mei 2026, 6:54 AM
MBSA wajibkan pagar, penutup longkang di perumahan baharu elak kes lemas
MBSA wajibkan pagar, penutup longkang di perumahan baharu elak kes lemas

SHAH ALAM, 10 MEI: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mewajibkan pemaju memasang pagar dan penutup longkang di kawasan perumahan baharu bagi mengurangkan risiko kemalangan dan kejadian lemas.

Timbalan Datuk Bandar Shah Alam Safriah Md Adzhar berkata syarat itu ditetapkan dalam pembinaan di lokasi panas (hotspot) sebagai langkah berjaga-jaga jika berlaku insiden luar jangka.

Menurutnya, pihak berkuasa tempatan (PBT) itu turut melantik kontraktor bagi memasang penutup longkang di lokasi lain yang berisiko atau dikenal pasti tidak lagi selamat digunakan.

"Kita mengenal pasti beberapa kawasan titik panas dan meminta Bahagian Kejuruteraan memasang tali keselamatan sebagai langkah mitigasi sementara sebelum kerja pembaikan dilaksanakan.

Timbalan Datuk Bandar Shah Alam Safriah Md Adzhar bercakap kepada media selepas larian obor Sukma XXII dan Para Sukma Selangor di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada 10 Mei 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

"Kadang-kadang ada pagar yang rosak atau senget, jadi kita perlu ambil tindakan segera sementara menunggu proses pembaikan yang mungkin mengambil sedikit masa," jelasnya ditemui selepas Larian Obor SUKMA di Dataran Kemerdekaan Shah Alam di sini, hari ini.

Pada 4 Mei, Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari menegaskan sudit keselamatan longkang berisiko akan dilakukan susulan dua kes kanak-kanak lemas di sekitar negeri ini, baru-baru ini.

Sebelum ini, media melaporkan mayat kanak-kanak lelaki Khairil Izani Khaizalullinudin, 10, ditemui di tebing Sungai Buloh, Ijok kira-kira 10 kilometer dari lokasi dia dilaporkan hanyut.

Sementara itu, mayat kanak-kanak perempuan, Nur Qaseh Deandra Mohd. Qayyum, 9, ditemui di Sungai Langat kira-kira 11 kilometer dari lokasi dia terjatuh dalam longkang di Bandar Mahkota Cheras.

Dalam perkembangan lain, Safriah berkata pihaknya menyambut baik saranan Putrajaya supaya mengurangkan kadar sewaan premis dan gerai perniagaan bawah kendalian PBT.

Jelasnya, semua maklumat berkaitan perkara tersebut dihantar ke Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) untuk tindakan lanjut dan penyelarasan bawah peringkat Kerajaan Negeri.

"Kita dimaklumkan UPEN akan menyelaraskan perkara ini melibatkan semua PBT di Selangor. Mekanisme pelaksanaannya pula akan bergantung kepada arahan lanjut yang ditetapkan," katanya.

Pada 5 Mei, kerajaan persekutuan mengarahkan pengurangan kadar sewa premis perniagaan milik agensi kerajaan dan PBT berkuat kuasa bulan ini bagi meringankan beban peniaga kecil.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan langkah tersebut diambil susulan peningkatan kos barangan yang memberi tekanan kepada peniaga dan penjaja.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.