SHAH ALAM, 22 MEI: Timbalan Datuk Bandar Shah Alam Safriah Md Adzhar berkata e-sukan kini berkembang menjadi industri besar yang melangkaui sekadar hiburan selepas ratusan peserta menyertai Kejohanan E-Sukan Shah Alam 2026 di Central i-City pada 25 dan 26 April lalu.
Beliau berkata perkembangan teknologi digital telah mengubah permainan kompetitif menjadi platform yang memerlukan ketangkasan mental, pemikiran strategik dan semangat kerja berpasukan.
“Hari ini, ketangkasan mental, refleks pantas dan ketepatan strategi telah beralih ke arena digital yang kita kenali sebagai e-sukan,” katanya ketika merasmikan kejohanan anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), lapor The Star.
Turut hadir Timbalan Setiausaha MBSA (pengurusan) Shahrin Ahmad dan Ahli Majlis Zon 6 MBSA Mohd Firdaus Mokhtar.
Safriah berkata e-sukan tidak seharusnya dilihat sekadar bermain permainan video kerana bidang itu turut memerlukan disiplin serta ketahanan mental.
Katanya, kejohanan itu dianjurkan bagi menyediakan platform persaingan sihat dan positif kepada golongan belia di Lembah Klang, selain memupuk integriti dan semangat kesukanan.
“Kejohanan ini membolehkan belia bersaing dalam suasana positif sambil menggalakkan pembangunan bakat dan mengukuhkan hubungan komuniti menerusi aktiviti bermanfaat,” katanya.
Kejohanan itu mempertandingkan permainan PUBG Mobile, Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) dan EA Sports FC 26 dengan jumlah hadiah keseluruhan RM10,000.
PUBG Mobile dan MLBB masing-masing menawarkan hadiah RM4,000, manakala FC26 menawarkan RM2,000.
MBSA menerima 64 penyertaan bagi PUBG Mobile, 32 penyertaan untuk MLBB dan 64 penyertaan bagi FC26.








