SHAH ALAM, 12 DIS: Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) selaku pengendali perkhidmatan rel Rapid KL melanjutkan waktu operasi Stesen Bukit Jalil sehingga jam 12.30 tengah malam, pada 14 Disember ini.
Lanjutan perkhidmatan tersebut sempena perlawanan perlawanan akhir Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil, maklumnya menerusi kenyataan.
"Bagi melancarkan perjalanan penyokong, waktu operasi stesen-stesen integrasi juga akan turut dilanjutkan. Stesen lain akan ditutup seperti biasa, namun penumpang masih boleh keluar di mana-mana stesen bagi meneruskan perjalanan pulang.
"Penyokong digalakkan menggunakan kad Touch 'n Go (TNG) bagi menikmati perjalanan yang lebih lancar serta mengelakkan kesesakan ketika masuk dan keluar stesen.
"Bagi yang menggunakan token, disarankan supaya membeli token pergi dan balik lebih awal, sebelum meninggalkan stesen," katanya.
Katanya, kemudahan fasiliti Park N' Ride di stesen rel terpilih turut tersedia bagi memudahkan perjalanan tanpa perlu menempuh kesesakan trafik atau kesukaran mencari parkir di kawasan stadium.
"Senarai stesen serta kadar caj Park N' Ride boleh didapati di laman rasmi Rapid KL.
"Rapid Rail akan menempatkan kakitangan tambahan di lokasi strategik bagi membantu pergerakan penyokong dan memastikan aliran trafik di dalam stesen berjalan lancar," katanya.
Rapid Rail berkata, bagi mendapatkan info terkini, penyokong digalakkan mengikuti media sosial Rapid KL dan memuat turun aplikasi PULSE Rapid KL bagi merancang perjalanan dengan lebih mudah.



