SHAH ALAM, 12 DIS: Kem gimnastik negara terus cemerlang pada Sukan SEA Thailand selepas menambah dua lagi kilauan emas, hari ini di Gimnasium 5, Universiti Thammasat.
Jaguh gimnastik artistik lelaki negara, Muhammad Sharul Aimy mempamerkan aksi kemas untuk meraih pingat emas dalam acara melombol lelaki dengan catatan 13.833 mata, lapor Berita Harian.
Kemenangan yang diraihnya cukup dramatik apabila dia hanya dipisahkan 0.016 mata dengan pemenang pingat perak dari Filipina, Cruz John Ivan yang mengumpul 13.817 mata dan atlet tuan rumah, Tikumporn Surintornta meraih gangsa selepas meraih 13.717 mata.
Gimnas wanita negara, Yeap Kang Xian pula mendominasi acara batang titian selepas mencatat mata tertinggi 13.233, jauh meninggalkan pesaing dari Singapura, Amanda Yap Ee Lin (12.733) yang meraih perak.
Gimnas Filipina, Aleah Finnegan yang juga peserta Olimpik, terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa selepas mencatat 12.467 mata.
Semalam, Malaysia meraih pingat emas menerusi Rachel Yeoh Li Wen dalam acara palang bertingkat.


