Grace Wong raih emas, pecah rekod Sukan SEA dan kebangsaan

12 Dis 2025, 4:32 AM
Grace Wong raih emas, pecah rekod Sukan SEA dan kebangsaan

SHAH ALAM, 12 DIS: Jaguh negara, Grace Wong, menepati ramalan apabila memenangi pingat emas acara baling tukul besi wanita Sukan SEA Thailand 2025 di Stadium Nasional Suphachalasai, Bangkok, sebentar tadi.

Grace memenangi pingat emas itu dengan memecahkan rekod sukan SEA dan rekod kebangsaan. Beliau melakukan balingan sejauh 65.41 meter dalam percubaan keempatnya, lapor Stadium Astro.

Balingan itu sekali gus memperbaharui rekod kebangsaan 63.53 meter yang dilakukannya dalam Kejohanan Olahraga Malaysia di Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar pada Ogos lalu.

Grace juga memperbaharui rekod temasya, 61.87 meter, yang dilakukannya dalam edisi di Kemboja dua tahun lalu.

Sebagai rekod, ia merupakan pingat emas keempat Grace dalam Sukan SEA, yang turut dimenanginya dalam edisi 2017, 2021 dan 2023.