Rakyat Malaysia di Kemboja diminta kemas kini maklumat diri, patuhi protokol keselamatan

11 Dis 2025, 7:48 AM
Rakyat Malaysia di Kemboja diminta kemas kini maklumat diri, patuhi protokol keselamatan

SHAH ALAM, 11 DIS: Kedutaan Besar Malaysia di Phnom Penh menggesa semua rakyat Malaysia di Kemboja mendaftar atau mengemas kini maklumat peribadi masing-masing dalam pangkalan data baharu kedutaan.

Kedutaan dalam kenyataan berkata, usaha itu dibuat selepas pihaknya mendapati terdapat rakyat Malaysia yang telah berpindah atau meninggalkan Kemboja tanpa mengemas kini maklumat mereka terdahulu.

Katanya, proses berkenaan penting bagi memudahkan penyampaian maklumat rasmi, pengurusan perkhidmatan konsular serta langkah berkaitan keselamatan dan kebajikan warganegara Malaysia di negara tersebut.

"Pautan pendaftaran dan kod QR turut disediakan bagi memudahkan rakyat Malaysia mengemas kini maklumat," katanya.

Dalam kenyataan berasingan, Kedutaan Besar Malaysia turut menasihatkan rakyat Malaysia di Kemboja supaya mengelak perjalanan tidak penting ke wilayah Preah Vihear, Oddar Meanchey, Banteay Meanchey, Battambang dan Pursat buat sementara waktu.

Nasihat itu dikeluarkan ketika ketegangan di sempadan Kemboja–Thailand terus meningkat sejak Isnin.

Rakyat Malaysia di Kemboja juga disarankan sentiasa mendapatkan maklumat daripada sumber berita sahih serta mematuhi arahan dan nasihat pihak berkuasa tempatan dan agensi kerajaan.

Sebarang pertanyaan boleh dibuat melalui e-mel mwphnompenh@kln.gov.my atau talian hotline 24 jam +855 12 216 176.