SHAH ALAM, 25 OGOS: Selangor meneroka peluang baharu dalam pasaran Kemboja bagi memperluas akses produk tempatan sekali gus memacu peluang eksport ke pasaran ASEAN.
EXCO Pelaburan Ng Sze Han berkata Seminar Perniagaan Malaysia-Kemboja di Phnom Penh yang disertai delegasinya baru-baru ini, antara lain menumpukan peluang pasaran Kemboja dan peranan Malaysia sebagai rakan sumber dipercayai bagi rantau ini.
“Misi seperti ini dilaksanakan atas satu tujuan, iaitu membuka pasaran sebenar kepada syarikat tempatan. Sebagai kepimpinan Selangor dalam bidang pelaburan dan perdagangan, inilah antara usaha utama yang kami laksanakan.
“Perusahaan Malaysia dan Selangor, daripada sektor pembuatan hingga perkhidmatan, berada pada kedudukan yang baik untuk menjadi rakan kongsi serta pembekal yang dipercayai,” katanya menerusi Facebook.
Menurutnya, setiap pasaran baharu yang berjaya ditembusi di luar negara akan menyumbang kepada peningkatan tempahan, eksport yang lebih tinggi serta membuka peluang pertumbuhan baharu kepada perniagaan dan tenaga kerja di tanah air.
Katanya, usaha menerusi Misi Pecutan Eksport (EAM) itu memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh jaringan perdagangan, membuka peluang pasaran baharu serta menghubungkan pemain industri Selangor dengan rakan strategik dan komuniti perniagaan di Kemboja.
“Pertemuan itu turut memberi ruang kepada Selangor memahami perkembangan pasaran Kemboja, selain mengenal pasti peluang yang boleh dimanfaatkan syarikat tempatan untuk mengembangkan operasi dan memperluas pasaran eksport.
“Kemboja dilihat mempunyai potensi besar sebagai destinasi eksport berikutan pertumbuhan ekonomi dan perkembangan sektor perniagaannya, selain kedudukannya sebagai sebahagian daripada pasaran ASEAN yang mempunyai jaringan perdagangan serantau yang luas,” katanya.
Hubungan perdagangan dua hala antara Malaysia dan Kemboja mencecah RM5.0 bilion pada 2025 manakala perdagangan bagi tempoh separuh pertama 2026 melonjak 51.1 peratus tahun ke tahun kepada RM3.32 bilion.










