KUALA LUMPUR, 3 OGOS: Malaysia dan Kemboja komited memperkasakan kerjasama strategik dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan, pelaburan, ekonomi digital, kecerdasan buatan, industri halal, keselamatan makanan serta pembangunan modal insan.
Menerusi hantaran di Facebook malam ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata komitmen itu turut merangkumi usaha memperkukuh kerjasama dalam membanteras jenayah rentas sempadan.
Beliau berkata perkara itu dizahirkan ketika menerima kunjungan hormat Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar dan Kerjasama Antarabangsa Kemboja Prak Sokhonn yang mengadakan lawatan rasmi dua hari ke Malaysia bermula hari ini.
“Lawatan ini bersempena dengan Mesyuarat Ketiga Suruhanjaya Bersama bagi Kerjasama Dua Hala (JCBC) Malaysia-Kemboja yang dijadualkan berlangsung pada 4 Ogos.
“Ia juga menjadi landasan penting menjelang sambutan ulang tahun ke-70 hubungan diplomatik Malaysia dan Kemboja pada 2027 sekali gus mencerminkan eratnya hubungan persahabatan serta perkongsian strategik yang berkekalan antara kedua-dua negara,” katanya.
Anwar berkata sebagai negara anggota ASEAN, Malaysia dan Kemboja berkongsi tanggungjawab untuk memelihara keamanan, memperkukuh perpaduan serantau serta merealisasikan Wawasan Komuniti ASEAN 2045 demi masa depan yang lebih makmur buat seluruh rakyat di rantau ini.
Beliau turut berharap hubungan Malaysia-Kemboja akan terus diperkukuh sekali gus membuka lebih banyak peluang kerjasama yang membawa manfaat bersama kepada kedua-dua negara dan rakyatnya.
-- BERNAMA







