SHAH ALAM, 11 NOV: Lima filem pendek karya pengarah muda Kemboja bakal ditayangkan secara percuma di Wayang Budiman, Alam Budiman di sini pada 18 November, sekali gus memberi peluang kepada orang ramai mengenali perkembangan perfileman negara ASEAN itu.
Program Cambodian Shorts menampilkan lima karya yang merupakan finalis kategori filem pendek tempatan pada Festival Filem Pendek Chaktomuk edisi ke-15 di Phnom Penh, Kemboja yang berakhir pada 2 November lalu.

Filem berkenaan ialah The Sentry (17 minit) arahan Jake Wachtel, Phnom Penh Night (9 minit) arahan Sotonta Singha, Incident on the Mountain (21 minit) arahan Savunthara Seng, Fresh as Daisy (13 minit) arahan Van Socheata dan Chant of the Desert Flower (16 minit) arahan Sophea Kim.
Kesemua filem berlatarbelakangkan Kemboja masa kini itu menggunakan pelbagai pendekatan penceritaan termasuk realisme, humor, parodi, fantasi dan mistik, dengan sebahagian pengarahnya pernah menembusi festival antarabangsa seperti Festival Filem Antarabangsa Berlin.

Tayangan berdurasi keseluruhan 76 minit yang bermula jam 8.15 malam itu akan disusuli sesi soal jawab bersama Pengarah Festival Filem Pendek Chaktomuk, Sithen Sum yang kini berada di Malaysia, dengan sesi dikendalikan pembikin filem dan penerbit buku, Amir Muhammad.
Wayang Budiman yang dikenali sebagai lokasi tayangan filem seni, retro, independen dan karya yang menjentik minda mengalu-alukan kehadiran orang ramai secara percuma, manakala maklumat lanjut boleh diperoleh menerusi Instagram @wayangbudiman.







