KLANG, 11 DIS: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor berkenan mengurniakan darjah dan bintang kebesaran kepada 98 individu dalam Istiadat Pengurniaan Darjah dan Bintang Kebesaran Negeri Selangor sempena Ulang Tahun Keputeraan Baginda yang ke-80, hari ini.
Istiadat yang berlangsung di Balairung Seri, Istana Alam Shah itu menyaksikan keberangkatan Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang diiringi Duli Yang Teramat Mulia Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin, Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah dan Yang Mulia Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Dato’ Abdul Aziz.
Mendahului senarai penerima ialah anakanda baginda, Yang Amat Mulia Tengku Zerafina yang dikurniakan Darjah Kerabat Selangor Yang Amat Dihormati, Darjah Kerabat Kedua (DK II).
Sultan Sharafuddin turut berkenan mengurniakan darjah kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S.), yang membawa gelaran Dato’ Seri kepada Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Pengasas Sunway Group, Tan Sri Dr Jeffrey Cheah Fook Ling.

Darjah kebesaran Dato’ Setia-Sultan Sharafuddin Idris Shah (S.S.I.S.) yang membawa gelaran Dato’ Setia pula dikurniakan kepada Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais) Tan Sri Mazlan Mansor, Pengarah Eksekutif YTL Corporation Berhad Dato’ Mark Yeoh Seok Kah dan Perunding Pakar Bedah Ortopedik, Subang Jaya Medical Centre Dato’ Dr Anuar Onah.
Seramai 16 penerima dianugerah Darjah Dato’ Paduka Mahkota Selangor (D.P.M.S.) yang membawa gelaran Dato’ atau Datin Paduka, antaranya Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, Pegawai Kewangan Negeri Selangor Datuk Dr Haniff Zainal Abidin dan EXCO Perpaduan Selangor Datuk Rizam Ismail.
Turut menerima darjah tersebut ialah Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Azimah Omar, Naib Canselor Universiti Putra Malaysia Dato’ Prof Ir Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah dan Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Selangor Raja Datin Seri Utama Johanna Adrina Raja Arshad.
Seramai 17 individu dikurniakan Darjah Dato’-Sultan Sharafuddin Idris Shah (D.S.I.S.) termasuk Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Wan Md Razali Wan Ismail, Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Zahri Samingon, Imam Masjid Istana Diraja Mohd Rasid Mahful dan pelukis terkenal Yusof Ghani.
Atlet bina badan kebangsaan Ahmad Faiz Ariffin pula menerima Darjah Ahli Kegemilangan Sukan Selangor (A.K.S).
Seramai 10 individu dianugerahkan Darjah Setia Mahkota Selangor (S.M.S.) antaranya Pegawai Daerah dan Tanah Petaling Huzunul Khaidil Mohammed, Timbalan Ketua Polis Selangor Superintenden Kee Hang Kee dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Selangor Azmir Kassim yang pernah terlibat dalam operasi Putra Heights.
Darjah Setia-Sultan Sharafuddin Idris Shah (S.I.S.) turut diberikan kepada 10 penerima termasuk Naib Presiden Komersial YTL Power International Berhad Dominic Hua Shi Hao dan Ketua Polis Daerah Subang Jaya Wan Azlan Wan Mamat.
Bagi Darjah Ahli Mahkota Selangor (A.M.S), seramai 15 individu menerima pengurniaan tersebut termasuk Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor, Ketua Zon 2 JBPM Selangor Wan Syariman Wan Saleh, Ketua Zon 4 JBPM Selangor Shahrin Yusmar Mat Yusof serta Penolong Pengarah JBPM Selangor Farid Asyhadi Assaad, yang turut terlibat dalam operasi Putra Heights.

Setiausaha Sulit kepada Dato’ Menteri Besar, Mohd Izzat Latif dan Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) Agro Industri Sdn Bhd Pongot Sajab termasuk dalam 15 penerima Darjah Ahli-Sultan Sharafuddin Idris Shah (A.I.S).
Atlet larian menara Malaysia Soh Wai Ching, turut menerima Bintang Kecemerlangan Sukan Selangor (B.K.S).
Sementara itu, Bintang Perkhidmatan Cemerlang (B.P.C) dianugerahkan kepada tujuh individu antaranya Timbalan Pengarah Kemasyarakatan Majlis Bandaraya Klang Ahmad Fahim Rosli, Timbalan Pengarah Khidmat Pengurusan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Fikriah Mohamad Hilmi dan Pensyarah Kanan Arshad Ayub Graduate Business School, Prof Madya Dr Arlinah Abd Rashid.
Istiadat tersebut turut dihadiri Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersama isteri Datin Seri Masdiana Mohamed serta Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.



