SHAH ALAM, 11 DIS: Dato’ Menteri Besar merafak sembah dan menzahirkan ucapan tahniah sempena Ulang Tahun Keputeraan ke-80 Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, ulang tahun keputeraan kali ini amat bermakna kerana berlangsung pada ambang Sambutan Jubli Perak, menandakan 25 tahun pemerintahan baginda yang penuh keprihatinan terhadap rakyat dan kemajuan negeri.
Menurut beliau, sepanjang tempoh pemerintahan tersebut, rakyat Selangor menikmati kepedulian Sultan Sharafuddin terhadap kebajikan masyarakat dan kesejahteraan negeri.
“Patik mewakili rakyat jelata, kepimpinan pentadbiran serta barisan penjawat awam kerajaan Tuanku, merafak sembah taat setia dan menjunjung kasih setinggi-tinggi tahniah buat DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bersempena Ulang Tahun Keputeraan Tuanku ke-80.
“Patik berdoa, semoga DYMM Tuanku dilimpahi rahmat, dilanjutkan usia dan sentiasa berada dalam perlindungan Allah SWT. Patik-patik sekalian senantiasa mendoakan agar Tuanku dan DYMM Tengku Permaisuri serta kerabat diraja dikurnia dan dilimpahi rahmat, keberkatan, kemuliaan, keafi’atan serta dipelihara keselamatan yang baik hendaknya,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.
Amirudin turut mendoakan kesejahteraan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah dan Yang Mulia Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Dato Abdul Aziz, selain puteri-puteri, adinda-adinda Tuanku serta seluruh kerabat diraja agar sentiasa diberkati Allah SWT.
“Sekali lagi patik mewakili rakyat jelata mendoakan DYMM Tuanku sentiasa dilindungi Allah SWT agar Tuanku terus kekal qarar bersemayam di atas singgahsana dengan penuh kedaulatan dan kebesaran. Daulat Tuanku, Dirgahayu Tuanku,” katanya.


