Pertemuan terakhir sebelum tragedi, bekas suami tidak sangka kebakaran ragut nyawa

10 Dis 2025, 10:22 AM
Pertemuan terakhir sebelum tragedi, bekas suami tidak sangka kebakaran ragut nyawa

SHAH ALAM, 10 DIS: Seorang lelaki tidak menyangka pertemuan beberapa hari lalu menjadi detik terakhir bersama bekas isteri yang maut dalam kebakaran di sebuah kediaman di Taman Rathna, Telok Air Tawar, Butterworth.

Kamarozlan Muhammad, 57, berkata beliau bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan telefon daripada anak perempuannya kira-kira jam 10.20 pagi.

“Ketika itu saya ada urusan kerja di Balik Pulau. Selepas dapat panggilan, saya terus datang untuk melihat apa yang berlaku.

“Saya sangat terkejut apabila dimaklumkan bekas isteri, Hayani Yaakob, 50-an, meninggal dunia dalam kebakaran itu kerana kami baru bertemu Jumaat lalu,” katanya ketika ditemui hari ini, lapor Berita Harian.

Menurut Kamarozlan, meskipun mereka berpisah lebih 10 tahun lalu, hubungan mereka kekal baik demi dua anak hasil perkahwinan terdahulu.

“Kami tidak selalu berhubung tetapi jika ada apa-apa keperluan dan dia minta tolong, saya akan bantu. Baru-baru ini dia mesej beritahu beras, barang dapur dan pasir kucing sudah habis, jadi saya belikan dan hantarkan Jumaat lalu.

“Tidak sangka itu pertemuan terakhir kami. Ingatkan kebakaran biasa sahaja, tetapi meragut nyawa,” luahnya dalam nada sebak.

Dalam kejadian itu, turut terkorban ialah anak angkat wanita berkenaan, seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun. Manakala anak lelaki mereka, Daniel Quyum Kamarozlan, 20-an, mengalami kecederaan selepas dihempap bumbung ketika cuba menyelamatkan diri.

Lebih menyayat hati, kedua-dua mangsa ditemukan rentung di bahagian pintu keluar utama selepas dipercayai cuba melarikan diri daripada api yang marak.

Kamarozlan memaklumkan, anak lelakinya kini menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya dan dilaporkan stabil.

“Bagi urusan pengebumian bekas isteri dan anak angkat, kami sedang menunggu ahli keluarga arwah dari Perlis,” katanya.