SHAH ALAM, 10 DIS: Dato’ Menteri Besar mengulangi pendirian beliau lebih selesa kekal menerajui pentadbiran Selangor hingga akhir penggal, meskipun namanya disebut dalam khabar angin rombakan kabinet persekutuan.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata beliau menyerahkan sepenuhnya perkara itu kepada kebijaksanaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Itu saya serahkan kepada kebijaksanaan Perdana Menteri namun saya sebutkan banyak kali, agak konsisten kalau pertimbangan itu lebih baik selepas habis penggal sebab kita hanya ada berbaki setahun setengah (atau) maksimum dua tahun.
“Jadi kalau dua tahun itu, biasanya tidak banyak benda baru yang kita boleh buat atau pun tak banyak kerja yang sempurna dapat kita lakukan. Jadi lebih baik saya sempurnakan kerja di sini.
“Saya cuba untuk memastikan negeri ini kembali kita menangi dengan signifikan dan kita dapat melengkapkan pelan dan perancangan yang sudah ada,” katanya selepas majlis penyerahan sumbangan masjid dan surau di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan nama Amirudin disebut-sebut antara figura politik yang berpotensi dilantik sebagai menteri.
Amirudin memegang jawatan Dato’ Menteri Besar sejak 2018 dan beliau Menteri Besar termuda dalam sejarah Kerajaan Negeri apabila dilantik ke jawatan itu pada usia 38 tahun pada 2018.



