MB: Selangor peruntuk RM2.47 juta bantu pembangunan, naik taraf 20 masjid, surau

10 Dis 2025, 6:14 AM
MB: Selangor peruntuk RM2.47 juta bantu pembangunan, naik taraf 20 masjid, surau
MB: Selangor peruntuk RM2.47 juta bantu pembangunan, naik taraf 20 masjid, surau
MB: Selangor peruntuk RM2.47 juta bantu pembangunan, naik taraf 20 masjid, surau
MB: Selangor peruntuk RM2.47 juta bantu pembangunan, naik taraf 20 masjid, surau
MB: Selangor peruntuk RM2.47 juta bantu pembangunan, naik taraf 20 masjid, surau

SHAH ALAM, 10 DIS: Sebanyak 20 masjid dan surau di Selangor menerima sumbangan berjumlah RM2.47 juta bagi kerja pembangunan dan penyelenggaraan institusi umat Islam itu.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata peruntukan kepada 11 masjid dan sembilan surau itu disalurkan menerusi Kumpulan Wang Amanah Bantuan Dana Pembinaan dan Penyelenggaraan Masjid dan Institusi Islam Selangor.

“Peruntukan besar ini adalah komitmen berterusan Kerajaan Negeri bagi memastikan keselesaan jemaah dan kelestarian fungsi masjid dan surau kita.

“Dana ini akan disalurkan untuk membiayai pelbagai keperluan mendesak, termasuk kerja pembaikan struktur bangunan, penaiktarafan kemudahan sedia ada, seperti sistem siar raya, pendingin hawa dan tempat wuduk.

“Selain itu, kerja selenggara rutin yang kritikal untuk memastikan persekitaran bersih dan selamat,” katanya berucap pada majlis penyerahan sumbangan masjid dan surau di sini, hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ditemui media ketika majlis penyerahan sumbangan dana kepada masjid dan surau di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada 10 Disember 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

Ditemui selepas majlis itu, Amirudin berkata inisiatif itu adalah usaha berterusan Kerajaan Negeri untuk memartabatkan institusi Islam antaranya untuk membantu melengkapkan pembinaan masjid.

“Ada dua pembinaan masjid yang kita lengkapkan di sini iaitu Alam Sari yang dikumpulkan secara majoritinya oleh penduduk dan sumbangan. Kedua di Limau Manis, yang mana ia adalah sebahagian daripada projek JKR ICU yang tidak lengkap kerana kekurangan beberapa dana.

“Selebihnya adalah surau dan masjid yang tertentu mempunyai masalah seperti untuk menambah baik sistem pendingin hawa dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Hal Ehwal Islam, Pengurus dan Imam 1 Masjid Darul Ehsan Subang Jaya Muhammad Halim Zamri, berkata peruntukan RM30,000 diterima masjid berkenaan akan digunakan untuk menaiktaraf bumbung di anjung pintu masuk masjid.

“Ketika ini bumbung di anjung tempat masuk masjid sudah reput dan dengan peruntukan ini ia boleh dinaiktaraf kepada yang lebih baik dan lebih selesa untuk jemaah,” katanya.