YANIS bincang usaha jadikan masjid lebih inklusif, mesra OKU

7 Sep 2026, 2:00 PM
YANIS bincang usaha jadikan masjid lebih inklusif, mesra OKU
YANIS bincang usaha jadikan masjid lebih inklusif, mesra OKU
YANIS bincang usaha jadikan masjid lebih inklusif, mesra OKU
YANIS bincang usaha jadikan masjid lebih inklusif, mesra OKU

SHAH ALAM, 7 SEPT: Yayasan Insan Istimewa Selangor (YANIS) mahu ekosistem masjid diperkukuh supaya lebih inklusif dan responsif terhadap keperluan orang kurang upaya (OKU), termasuk dalam aspek akses ilmu agama, komunikasi dan penyertaan komuniti.

Usaha itu dibincangkan menerusi Sesi Libat Urus Dakwah Inklusif OKU Islam Selangor 2026 yang menghimpunkan asatizah, pengurusan masjid, wakil komuniti dan keluarga OKU, ahli akademik serta penggerak komuniti, kelmarin.

YANIS berkata pendekatan dakwah inklusif perlu melangkaui penyediaan kemudahan fizikal, sebaliknya turut memberi perhatian kepada keperluan OKU untuk mendapatkan akses kepada ilmu agama serta menyertai aktiviti kemasyarakatan.

“Dakwah inklusif bukan sekadar tentang membuka pintu masjid. Ia tentang memastikan semua insan mempunyai ruang untuk belajar, beribadah, diterima dan dihargai sebagai sebahagian daripada ummah,” menurut yayasan itu menerusi hantaran di Facebook.

Antara perkara yang dibincangkan dalam sesi berkenaan termasuk keperluan menyediakan data OKU dalam kariah, meningkatkan aksesibiliti masjid serta memberi latihan kepada jawatankuasa masjid dan petugas barisan hadapan.

Turut diberi perhatian ialah peranan asatizah dalam membetulkan stigma terhadap OKU, penyediaan akses khutbah dan kuliah kepada OKU pendengaran, kelas fardu ain untuk anak-anak OKU serta penglibatan sukarelawan komuniti secara lebih tersusun.

YANIS berkata perbincangan dibahagikan kepada empat kumpulan utama, iaitu Pengurusan Masjid, Asatizah dan Ejen Dakwah, Komuniti OKU dan Keluarga serta Penggerak Komuniti OKU.

Setiap kumpulan membentangkan pandangan, cabaran dan cadangan tindakan yang boleh diteroka bagi membina ekosistem masjid yang lebih mesra OKU dan keluarga.

Program itu turut mendapat perkongsian daripada Prof. Madya Dr. Hamdan Mohd Salleh dan Prof. Dato’ Sri Ar. Dr. Asiah Abdul Rahim berkaitan dasar OKU, reka bentuk sejagat, aksesibiliti serta peranan institusi Islam dalam memperkukuh inklusiviti.

Majlis perasmian penutup disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif YANIS, Ar. Kamarul Hisham Yeop Hashim.

YANIS berkata masjid bukan sahaja ruang ibadah, malah berperanan sebagai ruang komuniti yang boleh menyantuni, menyokong dan memberdayakan semua insan termasuk golongan OKU serta keluarga mereka.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.