Proses bawa pulang 31 rakyat Malaysia terkandas di sempadan Myanmar-Thailand ambil dua minggu

10 Dis 2025, 12:25 AM
Proses bawa pulang 31 rakyat Malaysia terkandas di sempadan Myanmar-Thailand ambil dua minggu
Proses bawa pulang 31 rakyat Malaysia terkandas di sempadan Myanmar-Thailand ambil dua minggu
Proses bawa pulang 31 rakyat Malaysia terkandas di sempadan Myanmar-Thailand ambil dua minggu

SHAH ALAM, 10 DIS: Proses membawa pulang 31 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa penipuan kerja dan terkandas di sempadan Myanmar-Thailand dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya dua minggu.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata tempoh itu mengambil kira proses penahanan, tindakan mahkamah, pembayaran denda serta tahanan sementara berikutan kemasukan mereka ke Thailand secara tidak sah.

Perkembangan tersebut dimaklumkan Duta Besar Malaysia ke Thailand Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah selepas pegawai kedutaan mendapatkan maklumat daripada pihak imigresen dan Polis Diraja Thailand.

Ketika ini, kesemua mangsa berada di bawah kawalan Tentera Diraja Thailand di Friendship Bridge kedua, Maesot.

“Proses dokumentasi dan penapisan belum selesai sepenuhnya walaupun pegawai kedutaan telah berada di lokasi sejak awal pagi.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan. Foto BERNAMA

“Mahkamah di Maesot hanya mampu mengendalikan 80 kes sehari, manakala 274 warga China turut menunggu giliran sebutan kes.

“Usaha sedang dibuat bagi memendekkan tempoh proses dan penahanan, termasuk mengambil kira denda 4,000 baht (RM517) setiap individu,” katanya ketika dihubungi, lapor Berita Harian.

Kelmarin, Mohamad memaklumkan 32 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa pemerdagangan manusia berjaya dibawa masuk ke Thailand selepas Kedutaan Malaysia memohon bantuan kemanusiaan daripada pihak berkuasa negara itu.

Daripada jumlah itu, seorang mangsa ditahan lebih awal dan kini berada di Pusat Tahanan Imigresen Suan Phlu untuk proses deportasi.

Sementara itu, Mohamad berkata proses evakuasi 21 lagi rakyat Malaysia yang ditahan pihak berkuasa Myanmar juga berjalan lancar.

“Seramai 20 mangsa sedang dalam perjalanan ke Danok dengan iringan pegawai kedutaan dan dijangka tiba petang esok, manakala seorang lagi perlu ditahan lebih lama atas tujuan siasatan dan dokumentasi,” katanya.