Bangunan runtuh di Filipina: Dua rakyat Malaysia terkesan, seorang disahkan selamat

24 Mei 2026, 3:47 PM
Bangunan runtuh di Filipina: Dua rakyat Malaysia terkesan, seorang disahkan selamat

PUTRAJAYA, 24 MEI: Kementerian Luar mengesahkan dua rakyat Malaysia terkesan dalam insiden bangunan runtuh di Bandar Angeles, utara ibu negara Manila, Filipina pada Ahad.

Kementerian itu memaklumkan seorang mangsa disahkan selamat, manakala Kedutaan Besar Malaysia di Manila sedang giat mendapatkan maklumat sahih bagi memastikan status seorang lagi rakyat Malaysia.

“Kedutaan Besar Malaysia berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan untuk memantau keadaan rakyat Malaysia yang disahkan selamat serta mengesahkan status dan lokasi seorang lagi rakyat Malaysia.

“Pada masa sama, segala usaha sedang dijalankan untuk menghubungi dan mengesan waris terdekat kedua-dua individu terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut kementerian itu, operasi menyelamat sedang dijalankan bagi mencari individu yang dikhuatiri terperangkap.

Katanya, rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular segera atau mempunyai maklumat mengenai rakyat Malaysia lain yang mungkin berada di kawasan terjejas diminta menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Manila menerusi talian umum +63 286628200, nombor kecemasan (selepas waktu pejabat) +63 961 0778113 atau e-mel di mwmanila@kln.gov.my.

“Kementerian menzahirkan rasa simpati yang mendalam kepada semua pihak yang terkesan akibat insiden ini,” katanya.

Media melaporkan seramai 26 individu berjaya diselamatkan selepas sebuah bangunan sembilan tingkat yang sedang dalam pembinaan runtuh awal Ahad di Bandar Angeles.

Sebanyak 24 mangsa dikeluarkan dari struktur bangunan yang runtuh itu, manakala dua lagi diselamatkan dari hotel apartmen berhampiran yang turut terjejas akibat insiden berkenaan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.