SHAH ALAM, 9 DIS: Nahas membabitkan sebuah ambulans Hospital Segamat yang mengorbankan pemandunya berpunca daripada tayar belakang kiri pecah sebelum kenderaan itu terbabas dan terbalik, hari ini.
Insiden jam 1.10 tengah hari di Kilometer 58.9, Lebuhraya Utara-Selatan (arah selatan) itu mengorbankan pemandunya, Nurazrein Zainal, 43, kerana parah di kepala dan badan, lapor Harian Metro.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh, berkata hasil siasatan mendapati ambulans terbabit dipandu mangsa dalam perjalanan dari arah Segamat menghala ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru.
"Kesan daripada tayar belakang pecah menyebabkan ambulans terbabit terbabas ke bahu jalan kiri.
"Akibat insiden itu, mangsa meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Hospital Enche' Hajjah Khalsom.
"Dua jururawat Dahlia Atan, 25, dan Siti Rokiah Hassan, 35, pula parah di kepala dan kaki manakala pesakit Amutha Velusamy, 45, cedera di kepala.
"Semua mangsa menerima rawatan di hospital sama," katanya dalam kenyataan, malam ini.
Bahrin berkata, siasatan lanjut masih dijalankan dengan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Orang ramai mempunyai maklumat diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang di talian 07-7784222 (hotline) atau 07-7784256 dan 014-365682," katanya.


