Lima cedera, ambulans terlibat kemalangan dengan dua kereta

10 Apr 2026, 12:29 PM
Lima cedera, ambulans terlibat kemalangan dengan dua kereta

GEORGE TOWN, 10 APRIL: Sebuah ambulans dalam perjalanan mengambil pesakit terlibat kemalangan dengan dua kenderaan di Jalan Bukit Gambir, berhampiran Universiti Sains Malaysia (USM), di sini semalam yang video kejadiannya turut tular di media sosial.

Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut Supt Lee Swee Sake berkata siasatan mendapati kereta jenis Perodua Axia dipandu wanita berusia 19 tahun dipercayai melanggar ambulans yang sedang melalui persimpangan lampu isyarat di hadapan USM.

"Kereta itu dipercayai gagal memberi laluan kepada ambulans yang sedang melalui persimpangan dengan siren dibunyikan dan akibat pelanggaran tersebut, ambulans berkenaan hilang kawalan sebelum terbabas serta melanggar sebuah Proton Saga yang sedang menunggu lampu isyarat.

"Akibat kemalangan tersebut, pemandu ambulans berusia 51 tahun bersama tiga penumpang yang juga petugas perubatan berumur 35 hingga 41 tahun mengalami kecederaan ringan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pemandu Perodua Axia yang merupakan seorang pelajar mengalami kecederaan di bahagian dada, tulang rusuk dan pinggang manakala pemandu Proton Saga, lelaki berusia 65 tahun yang juga pemandu e-hailing tidak mengalami sebarang kecederaan.

Lee berkata pihaknya menerima laporan pada 1.06 tengah hari dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara cuai sehingga menyebabkan kemalangan dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan.

Terdahulu, video berdurasi dua minit 30 saat mengenai kemalangan tersebut tular di media sosial dan menarik perhatian orang ramai.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.